BERITA SEMASA

Dua anggota JPJ digantung tugas, siasatan dua insiden di Tanah Merah dijamin telus

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung tugas dua anggotanya serta-merta susulan dua insiden berasingan membabitkan kenderaan jabatan itu, termasuk satu kemalangan maut di Tanah Merah, minggu lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas itu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang gangguan.

Menurutnya, insiden pertama melibatkan video tular yang memaparkan kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), yang kini berada di bawah siasatan dalaman jabatan.

“Anggota terlibat telah digantung tugas dan pasukan khas ditugaskan menjalankan siasatan. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan,” katanya pada sidang media selepas pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini semalam.

Beliau berkata, insiden kedua pula membabitkan kemalangan maut di Kilometer 85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga, Tanah Merah yang melibatkan kenderaan JPJ dan sebuah Perodua Myvi.

“Kes kemalangan ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan JPJ tidak terlibat dalam siasatan tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua insiden itu melibatkan kenderaan dan anggota yang sama, namun berlaku pada hari berbeza.

“Terdapat kekeliruan dalam kalangan netizen yang mengaitkan kedua-dua kejadian ini berlaku pada hari yang sama. Perkara itu tidak tepat,” katanya lagi.

Tambahnya, kedua-dua anggota berkenaan akan ditempatkan di ibu pejabat JPJ sepanjang tempoh penggantungan bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan JPJ tidak akan berkompromi dalam isu disiplin, khususnya apabila melibatkan keselamatan jalan raya dan integriti jabatan.

“JPJ memberi jaminan siasatan akan dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya lagi.

Terdahulu, dua insiden berkenaan mendapat perhatian umum selepas video kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar tular di media sosial, selain kemalangan maut yang mengorbankan nyawa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button