Suami Neera digantung tugas 6 bulan susulan video ‘gender reveal’ depan Kaabah
KUALA LUMPUR – Agensi umrah, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas seorang mutawif susulan penularan video sambutan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah yang mencetuskan kontroversi dan kecaman masyarakat.
Dalam satu kenyataan, syarikat berkenaan memaklumkan individu terbabit, Muhammad Hafizi Mohd Noor yang juga suami kepada penyampai radio Neera Azizi digantung daripada tugas selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut pengurusan In Saff Travel, tindakan itu diambil selepas siasatan menyeluruh mendapati berlaku pelanggaran etika serta prosedur operasi standard (SOP) syarikat yang telah ditetapkan kepada semua petugas.
“Hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap etika dan SOP syarikat. Susulan itu, pihak agensi mengambil tindakan tatatertib terhadap Hafizi.
“Pihak pengurusan memutuskan untuk menggantung individu berkenaan selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, mutawif terbabit tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang tugasan operasi atau membimbing jemaah ke Tanah Suci sepanjang tempoh penggantungan.
“Individu berkenaan turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman termasuk pengeluaran surat amaran rasmi dan sebarang pertimbangan pelantikan semula hanya akan dibuat tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap ketetapan serta garis panduan syarikat.
“In Saff Travel menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika, serta imej syarikat tidak akan dikompromi sama sekali,” katanya.
Terdahulu, tular video pasangan berkenaan mengumumkan jantina bayi mereka di hadapan Kaabah yang mengundang pelbagai reaksi negatif netizen kerana disifatkan tidak menghormati kesucian tempat ibadah umat Islam.
Susulan kecaman tersebut, Neera dilaporkan telah memadam video berkenaan di semua platform media sosial selain tampil memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








