JENAYAH & MAHKAMAH

Doktor rugi RM285,000 terpedaya sindiket ‘phone scam’

KUANTAN – Seorang doktor lelaki berusia 31 tahun mengalami kerugian RM285,000 selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ dalam kes penyamaran sebagai pegawai utiliti dan pihak berkuasa.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang bertugas di sebuah hospital di negeri ini menerima beberapa panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 31 Disember lalu.

Menurutnya, panggilan berkenaan bermula daripada individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum talian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Pahang
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

“Suspek kemudiannya mendakwa mangsa terbabit dalam kes mengubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram serta aktiviti penipuan digital.

“Kononnya bagi tujuan siasatan, mangsa diarah untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian.

“Mangsa kemudiannya diarah membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama pihak bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa membuat pinjaman daripada sebuah institusi kewangan sebelum diarahkan melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank melibatkan 12 transaksi berasingan.

Selain itu, mangsa turut diarahkan membeli sebanyak 35 keping resit `Razer Gold Top Up’ dan menyerahkan nombor pin kepada suspek.

“Akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM285,000 iaitu wang simpanan peribadi dan pinjaman bank.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili agensi penguat kuasa, institusi utiliti atau kewangan.

“Sebarang panggilan mencurigakan hendaklah disahkan terus dengan polis atau agensi berkaitan dan dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/
sebelum membuat sebarang transaksi.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button