Dibelasah, diugut bunuh kerana jadi pemandu pelancong di Jepun
CYBERJAYA – “Saya ditarik rambut, dihentak ke besi katil, dipijak dan ditendang berkali-kali sebelum diugut bunuh. Semua hanya kerana saya bekerja secara sebagai pemandu pelancong di Jepun.”
Demikian luahan penuh emosi seorang wanita, Bella, 34, yang kini trauma selepas menjadi mangsa belasahan sekumpulan individu, termasuk seorang pengusaha syarikat pelancongan dari Malaysia dalam kejadian di Jepun pada 24 Januari lalu.
Menurut Bella, kejadian berlaku di sebuah rumah tumpangan milik rakannya.
“Bukan saya seorang yang dibelasah. Dua rakan saya turut dipukul. Ketika kejadian, suspek menarik rambut saya dengan kasar sebelum menghentak tubuh saya ke besi katil dua tingkat. Saya juga dipijak dan ditendang bertubi-tubi,” katanya pada satu sidang media, di sini hari ini.
Lebih mengejutkan, aksi ganas itu dirakam sendiri oleh salah seorang suspek, sebelum mangsa diugut supaya segera meninggalkan Jepun.
“Dia ugut, kalau saya tak balik malam itu, saya akan dibunuh di situ juga. Selepas saya tunjuk bukti tiket penerbangan pulang, barulah dia alihkan kaki yang ditekan ke kepala saya,” katanya lagi.
Mengulas motif kejadian, Bella mendakwa kemungkinan besar ia berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang merupakan bekas majikannya.
“Saya pernah bekerja dengan dia sebelum ini, tapi selepas berhenti, saya mula jadi pemandu pelancong freelance. Mungkin dia tak puas hati saya bergerak sendiri,” katanya sambil memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Jepun sejurus kejadian berlaku.
Sementara itu, aktivis masyarakat, Ena Awil berkata, pihaknya kesal kerana tiada tindakan susulan terhadap kes tersebut, walaupun laporan sudah dibuat lebih enam bulan lalu.
“Suspek masih bebas, manakala Bella dan rakannya masih dibayangi trauma. Ini melibatkan keselamatan dan maruah wanita yang diperlakukan secara kejam. Di mana keadilan?” soalnya.
Katanya, memandangkan kejadian berlaku di luar negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat atau mendakwa suspek, meskipun individu tersebut berada di tanah air.
“Setakat ini, kita belum terima sebarang perkembangan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Jepun. Oleh itu, kita akan ke Wisma Putra dalam masa terdekat untuk menggesa campur tangan,” ujarnya.
Jelas Ena, tindakan tegas perlu diambil kerana apa juga alasan, tidak wajar seorang wanita diperlakukan sebegitu rupa.
“Apa pun alasannya, ini jenayah serius. Jangan biarkan pesalah melarikan diri daripada keadilan hanya kerana ia berlaku di luar negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






One Comment