PENDAPATRENCANA

Depresi: Bila jiwa menangis tetapi dunia tak mendengar

Lebih 900,000 rakyat Malaysia alami simptom depresi

Oleh SHARIFAH NUR ATHIRAH SYED MOHD FEISAL

PERNAHKAH kita jumpa seseorang yang nampak ceria, suka buat lawak, tapi diam-diam simpan luka yang dalam?

Lihat sahajalah orang di sekeliling kita, pasti ada orang yang sebegitu.

Ada pepatah mengatakan ‘seperti api dalam sekam’, di mana sesuatu yang buruk sedang berlaku tetapi tidak disedari oleh orang lain.

Sampai bila kita mahu berpura-pura kuat, sedangkan kita tahu hampir setengah juta rakyat Malaysia sedang bertarung dengan depresi?

Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa lebih 900,000 rakyat Malaysia mengalami simptom depresi. Itu hanyalah angka yang dikenal pasti. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapatkan bantuan?

Mereka hanya bertarung dengan diri sendiri sahaja. Mereka itulah yang kita perlu rawat sebenarnya.

Kata orang, ‘air tenang jangan disangka tiada buaya’ begitulah dengan kesihatan mental, diam bukan bererti baik-baik sahaja.

Di samping itu, zaman sekarang juga semakin mencabar. Ekonomi tidak menentu, peluang pekerjaan juga semakin tipis, harga barang pula naik mendadak sehingga menyebabkan rakyat semakin terbeban.

Sehingga sekarang masih ada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terpaksa ikat perut disebabkan harga makanan di kampus juga meningkat.

Ada juga dalam kalangan mereka yang bekerja separuh masa untuk mencari wang bagi menampung kehidupan mereka.

Bahkan seperti yang kita sedia maklum, ramai pelajar IPT yang mengalami kesihatan mental disebabkan oleh pelbagai faktor sekeliling.

Golongan pelajar juga terdedah dengan gejala mental disebabkan pelbagai faktor termasuk tekanan dalam pembelajaran.

Akan tetapi, bukan pelajar sahaja yang terkesan bahkan golongan pekerja juga semakin ramai yang mengalami tekanan emosi dalam diam.

Mereka juga takut untuk mengambil cuti atas sebab kesihatan mental kerana stigma rakyat Malaysia yang mendefinasikan sakit mental itu adalah ‘gila.

Sebenarnya, ramai dalam kalangan kita yang hidup dalam tekanan. Ada yang menyimpan perasaan sehingga mula mencederakan diri sendiri, malah ada juga yang memilih untuk berakhir dengan cara paling tragis.

Apabila perkara ini terjadi, barulah kita mula mencari puncanya. Akan tetapi, semuanya sudah terlambat.

BACA LAGI : Jangan guna label ‘depresi’ dan ‘anxiety’ sembarangan – PHM

Kita selalu mendengar pepatah yang berbunyi ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Akan tetapi masyarakat kita ini, istilah ‘mata itu hanya hadir apabila adanya berita sedih. Bagaimana pula bahu yang memikul?

Selalunya istilah ini bermaksud kita dipaksa untuk terus kuat, walaupun sebenarnya kita sendiri hampir rebah.

Syukurlah, dalam gelap masih ada lagi cahaya.

Pelbagai inisiatif telah diwujudkan oleh kerajaan, dari talian bantuan psikologi seperti Talian HEAL KKM, sehinggalah ke kempen kesedaran seperti ‘Perangi Stigma’ iaitu kempen menggalakkan orang ramai untuk meluah perasaan dan berkongsi cerita.

Talian HEAL merupakan satu inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan untuk membantu mereka yang berdepan gejala depresi.

Di samping itu, kita juga dapat lihat sudah ramai selebriti dan pempengaruh media (influencer) mula memberi kesedaran tentang kesihatan mental.

Langkah ini sangat membantu rakyat Malaysia bagi menormalisasikan perbualan tentang emosi dan jiwa.

Selain itu, kita juga memerlukan pendekatan yang lebih holistik. Pendidikan emosi dan kesedaran tentang kesihatan mental haruslah dimulakan sejak sekolah rendah lagi.

Sekolah bukan sahaja untuk akademik, tetapi mereka juga perlu diajar untuk mengenal perasaan mereka dan bagaimana untuk mencari bantuan.

BACA LAGI : FOMO turut bawa konotasi positif – Fahmi

Di sekolah rendah juga sudah ada isu buli, di mana ada juga dalam kalangan mereka yang menyembunyikan masalah ini dan tidak memberitahu guru mereka.

Lantaran itulah kita perlu adakan pendidikan emosi di peringkat sekolah rendah lagi.

Bukan sahaja di sekolah, tempat kerja juga harus menjadi ruang selamat untuk para pekerja berdiskusi tentang tekanan tanpa adanya stigma di kalangan mereka sendiri.

Kita perlu sedar bahawa untuk melancarkan organisasi, syarikat perlulah menjaga kebajikan pekerja bukan sahaja luaran tetapi dalaman juga perlu diambil berat.

Mungkin kita tidak boleh selesaikan masalah orang lain. Tetapi kita boleh mula dengan satu perkara yang mudah iaitu mendengar.

Antara tip penjagaan mental ialah meluahkan rasa kepada orang yang dipercayai bagi mengurangkan tekanan perasaan yang dialami.

Kadangkala apa yang seseorang perlukan itu hanyalah untuk didengari, bukan untuk dihakimi.

Harus diingat, walau sekuat mana pun seseorang itu dilihat, mereka adalah manusia biasa seperti kita.

Ada pepatah melayu yang berbunyi, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ begitulah juga dengan depresi.

Kalau kita tidak mula untuk meluah, bagaimana kita hendak mendapatkan bantuan? Jika kita juga terus berdiam diri, bagaimana kita hendak sembuh?

Kesimpulannnya, marilah kita berhenti menganggap isu kesihatan mental ini adalah isu yang remeh.

Badan yang sihat datangnya daripada jiwa yang sihat. Peringatan juga untuk kita semua, mungkin sudah tiba masanya untuk kita buka mata, buka telinga dan paling penting, buka hati.

* Penulis merupakan pelajar Fakulti Pengurusan & Kepimpinan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button