Jangan guna label ‘depresi’ dan ‘anxiety’ sembarangan – PHM
PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melabel diri sebagai mengalami masalah mental seperti kemurungan (depression) atau keresahan (anxiety) hanya kerana berdepan tekanan hidup sementara atau perasaan kecewa.
Dalam satu kenyataan di Facebook, PHM menegaskan bahawa penyakit mental bukanlah satu trend atau gaya hidup dan tidak wajar dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada realiti kehidupan.
“Penyakit mental bukan trend. Bukan gaya hidup. Bukan ‘escape card’. Ia bukan sesuatu yang ‘cool’ untuk dimiliki,” kata PHM.
Menurut PHM, penyakit mental merupakan gangguan kesihatan yang benar dan memberi kesan besar terhadap fungsi otak serta kesejahteraan individu.
“Ia penyakit yang senyap, yang melumpuhkan dalam diam,” ujar PHM lagi.
Perkongsian tersebut turut menyelitkan suara hati seorang pesakit mental yang menggambarkan keperitan sebenar yang dialami mereka.
“Kalau kau belum pernah rasa takut dengan hari esok yang belum datang, kalau kau belum pernah rasa ‘numb’, tiada emosi walaupun ditunjukkan benda yang kau paling suka sebelum ini. Jangan terburu-buru melabel diri.
“Ini bukan luahan untuk meraih simpati. Ini bukan catatan untuk jadi tular. Ini adalah epilog suara hati seorang pesakit mental,” katanya.
Terdahulu, beberapa pakar kesihatan turut menggesa agar perbezaan antara tekanan emosi harian dan penyakit mental kronik difahami dengan jelas bagi mengelakkan salah guna istilah serta stigmatisasi terhadap pesakit sebenar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

