DBKL laksana mesyuarat di kawasan Parlimen, percepat penyelesaian isu rakyat
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan pendekatan baharu dalam menangani isu rakyat dengan mengadakan Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar terus di kawasan Parlimen mulai April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, mesyuarat itu bertujuan memastikan masalah komuniti dapat diselesaikan di peringkat akar umbi dan bukan sekadar dibincangkan di ibu pejabat DBKL.
Beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri yang turut dihadiri pengurusan kanan DBKL serta Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi membincangkan dasar dan isu berkaitan pentadbiran DBKL.
“Mulai April 2026, Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar akan dilaksanakan dengan pendekatan baharu.
“Mesyuarat ini akan diadakan terus di kawasan Parlimen masing-masing, dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif sebagai wakil Datuk Bandar dan dipengerusikan bersama oleh Ahli Parlimen kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan itu akan memperkukuhkan peranan pejabat cawangan DBKL di setiap kawasan Parlimen serta membawa sumber ibu pejabat terus ke lapangan supaya isu dapat difahami dan diselesaikan dengan lebih pantas.
Tambahnya, agensi serta pemegang taruh berkaitan juga akan dijemput bagi memastikan setiap isu dibincangkan secara terselaras dan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pentadbiran bandar tidak boleh jauh daripada realiti di lapangan. Dengan pendekatan ini, DBKL akan lebih dekat dengan komuniti supaya isu rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat, tepat dan berkesan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








