Daniel Gimenez Alcaniz dilantik Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC
SEREMBAN – Negeri Sembilan FC (NSFC) semalam mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan musim Liga Super 2026/27.
Pelantikan Daniel dibuat bagi mengisi kekosongan tersebut selepas peletakan jawatan Nidzam Jamil pada Februari lalu.
Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan melantik Daniel dibuat selepas melalui proses penilaian yang teliti dan beliau dikenal pasti sebagai calon paling sesuai untuk meneruskan pembangunan projek bola sepak kelab itu.
Menurutnya, pengalaman luas Daniel di pelbagai negara serta kejohanan antarabangsa, selain falsafah bola sepak yang selari dengan identiti NSFC, menjadi antara faktor utama pelantikannya.
“Kami bukan sahaja melihat kepada pengalaman beliau, malah pendekatan dan falsafah bola sepak yang dibawa juga menepati hala tuju Negeri Sembilan FC.
“Kami mahu membina sebuah pasukan yang berani mengamalkan corak permainan moden, mempunyai organisasi taktikal yang mantap serta memberi ruang kepada pemain muda untuk berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Aminuddin berkata, Daniel juga memiliki rekod cemerlang dalam pembangunan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain.
“Perkara ini amat penting kerana kami percaya masa depan Negeri Sembilan FC bergantung kepada keupayaan kelab melahirkan generasi pemain yang mampu menjadi tunjang pasukan dalam jangka panjang.
“Kami yakin pengalaman, kepakaran dan kepimpinan beliau mampu membantu Negeri Sembilan FC mencapai sasaran yang ditetapkan serta membawa kelab ini ke tahap yang lebih membanggakan,” katanya.
Daniel dijangka memulakan tugasnya dalam masa terdekat bersama barisan kejurulatihan yang akan diumumkan kelab.
Sebagai rekod, pemegang Lesen UEFA Pro itu memiliki lebih sedekad pengalaman dalam bola sepak profesional di Eropah, Asia dan Afrika.
Sepanjang karier kejurulatihannya, beliau pernah membimbing beberapa kelab termasuk Al Ahed FC, Al Nejmeh SC dan skuad bawah 17 tahun kebangsaan Lubnan, selain pernah berkhidmat bersama Al Hilal (Sudan), Modern Sport FC (Mesir), Akhaa Al Ahly FC (Lubnan) serta Al-Nasr Club dalam Liga Profesional Oman.
Antara pencapaian terbesar Daniel ialah membantu Al Ahed FC menjuarai Piala AFC 2019, selain membawa Al Hilal muncul juara Liga Perdana Sudan.
Terbaharu, beliau berjaya membawa Al-Nasr menamatkan saingan Liga Profesional Oman di tempat ketiga sekali gus melayakkan kelab itu beraksi dalam Arab Club Champions Cup.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





