Danau Lumayan tawar 3,438 rumah mampu milik di Bandar Sri Permaisuri
KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju perumahan, Danau Lumayan Sdn Bhd akan membangunkan sebanyak 3,438 unit kediaman mampu milik di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dekat sini.
Pengarah Urusannya, Shahril Reza Shaheen berkata, projek perumahan mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.03 bilion dibangunkan oleh kontraktor siap guna Pesona Metro Holdings Berhad (Pesona Metro).
Beliau berkata, projek itu yang dikenali sebagai Residensi Wilayah Aman Lumayan terletak di atas tanah seluas 13.48 ekar.
“Kami berbangga dapat menyokong komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan akses kepada perumahan mampu milik di dalam bandar.
“Sejak awal lagi, fokus kami ialah memastikan kediaman ini bukan sahaja mampu dibeli tapi juga praktikal dan selesa didiami, dengan reka bentuk luas, ciri mampan dan yang lebih utama, sebuah ekosistem yang membantu menjadikan kemudahan gaya kondominium mampu diselenggara sambil menyokong keperluan harian, gaya hidup urban dan nilai kemasyarakatan yang kuat,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI, sebuah projek perumahan mampu milik di bawah inisiatif Residensi Wilayah yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dalam pada itu Shahril Reza berkata, kediaman itu berharga RM300,000 setiap unit dengan ditawarkan ruang seluas 900 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan sebuah anjung peribadi untuk pengudaraan dan pencahayaan yang lebih baik, ciri utama dalam memastikan kehidupan bandar yang lebih selesa dan bermanfaat.
Katanya, selain direka untuk kehidupan bandar yang praktikal, kediaman itu menawarkan lebih ruang dan ciri berbanding kelaziman kediaman segmen mampu milik, serta disokong dengan kemudahan yang menambah keselesaan, kesenangan dan kehidupan bermasyarakat.
“Projek tersebut berorientasikan tiga blok simetri dengan reka bentuk yang dicipta untuk mempertingkatkan pengudaraan, pencahayaan semula jadi dan ruang awam, sementara seni bina muka bangunan melangkaui kebiasaan segmen mampu milik menerusi penggunaan garis ringkas, corak dan variasi warna yang menghasilkan suasana lebih bertenaga dan mesra.

“Projek ini juga mengandungi dek podium di setiap blok dengan kemudahan gaya kondominium termasuklah kolam renang dan randuk, gimnasium, dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak, taska, bilik bacaan, kawasan BBQ, surau, kedai runcit dan dobi.
“Kemudahan-kemudahan ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan penduduk termasuklah keluarga muda, golongan pekerja dan pesara,” katanya.
Untuk melengkapi ekosistem komuniti yang bertenaga, pembangunan ini didatangkan bersama ruang penjaja yang menawarkan infrastruktur penting seperti sambungan elektrik dan bekalan air.
Ia sekali gus memberi peluang kepada perniagaan kecil dan usahawan mikro dari komuniti setempat untuk berkembang, seterusnya mempromosikan pemerkasaan ekonomi rakyat.
Selain itu, sewa yang dikumpul akan disalurkan kepada penyelenggaraan bangunan dan menyumbang ke arah kehidupan yang mampan dan berteraskan masyarakat, sekali gus mencerminkan nilai MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta.
Sementara itu sempena upacara itu Pesona Metro Holdings Berhad turut menandatangani pembiayaan bernilai RM205 juta dengan Maybank Islamic Berhad untuk menyokong pembinaan projek itu.
Menurut Pengerusi Pesona Metro, Wie Hock Kiong, keutamaan pihaknya ialah untuk membuat serahan dengan berintegriti dan disiplin.
“Pembiayaan kewangan daripada Maybank merupakan tanda keyakinan mereka terhadap potensi projek, memberi kami peluang untuk melangkah ke hadapan dengan kesungguhan untuk menyerahkan projek pembangunan yang direka dengan baik dan mampan serta memenuhi jangkaan kualiti dan menyokong keperluan jangka panjang komuniti,” katanya.
Menghadap Taman Tasik Permaisuri, Residensi ini menawarkan persekitaran indah dan damai dalam suasana bandar, sambil menikmati akses dan sambungan yang baik.
Tapak projek ini bersambung ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat dan MRR2, begitu juga jalan utama seperti Jalan Loke Yew, memberikan laluan mudah ke KLCC, Bangsar, Cheras dan Petaling Jaya.
Ia juga mendapat khidmat stesen KTM dan LRT Salak Selatan, dan bakal memanfaatkan Laluan Lingkaran MRT3 yang bakal siap, selain stesen Bandar Sri Permaisuri yang berada dalam perancangan.

Projek pembangunan ini juga berhampiran dengan kemudahan awam utama seperti Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Stadium Cheras, menambah lagi kesenangan untuk penghuni.
Pembangunan ini juga didatangkan bersama beberapa ciri hijau yang menyasarkan pengurangan kesan dan kos alam sekitar jangka panjang.
Ini termasuklah penggunaan panel solar atas bumbung untuk sebagai sumber tenaga ruang awam, sistem penuaian air hujan untuk penyelenggaraan lanskap dan pembersihan, serta ciri rekaan jimat tenaga yang akan mempertingkatkan prestasi keseluruhan bangunan.
Projek ini dirancang mengikut piawaian pensijilan GreenRE, mencerminkan komitmen pemaju terhadap pembangunan bandar yang mampan dan bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








