Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR & DR. KALSOM ALI
BULI di tempat kerja terutamanya dalam bentuk mental dan emosi adalah satu fenomena yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Ramai pekerja mengalami tekanan akibat ejekan, penghinaan, pengasingan sosial serta manipulasi psikologi oleh rakan sekerja atau majikan.
Kajian oleh Malaysian Employers Federation (MEF) pada 2023 menunjukkan bahawa lebih 30 peratus pekerja Malaysia mengakui pernah mengalami buli di tempat kerja.

Ia berlaku dalam bentuk kata-kata kesat, beban kerja berlebihan secara tidak adil atau penindasan psikologi yang berterusan.
Walaupun ia bukan sesuatu yang selalu dilaporkan secara terbuka, kesannya boleh membawa kepada masalah kesihatan mental, penurunan produktiviti dan keinginan untuk berhenti kerja.
Dari perspektif hak sosial, setiap individu berhak bekerja dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada ancaman emosi atau fizikal.
Namun, budaya kerja di Malaysia yang cenderung mengutamakan hierarki dan kepatuhan, sering menjadikan mangsa takut untuk bersuara kerana bimbang akan kehilangan pekerjaan atau dipinggirkan oleh rakan sekerja.
Dalam sesetengah organisasi, buli mental dianggap perkara biasa, terutama dalam industri yang berasaskan tekanan tinggi seperti kewangan, perundangan dan perubatan.
Sikap berdiam diri dan normalisasi budaya buli ini menyebabkan mangsa terus terperangkap dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan mereka.
Dari sudut perundangan, Malaysia masih belum mempunyai akta khusus yang menangani isu buli di tempat kerja secara menyeluruh.
Namun, Akta Kerja 1955 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menetapkan keperluan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat, yang secara tidak langsung boleh digunakan untuk menentang amalan buli.

Beberapa kes telah menarik perhatian umum, seperti insiden seorang doktor pelatih yang membunuh diri pada 2022 akibat tekanan kerja dan buli di hospital kerajaan, yang membuka mata masyarakat tentang betapa seriusnya masalah ini.
Dalam konteks budaya, sesetengah organisasi di Malaysia masih terperangkap dalam amalan toksik seperti sistem senioriti yang memberi kuasa kepada pekerja lama untuk menindas pekerja baharu.
Budaya ini dapat dilihat dalam sektor tertentu seperti perkhidmatan awam dan sektor korporat di mana buli secara halus seperti pengasingan sosial atau sindiran tajam sering digunakan untuk mengawal pekerja bawahan.
Di samping itu, tekanan untuk menunjukkan kepatuhan tanpa soal dalam budaya kerja orang Asia menjadikan ramai pekerja sukar melawan atau melaporkan ketidakadilan yang berlaku.
Bagi menangani masalah ini, peranan majikan, pekerja dan kerajaan amat penting.
Organisasi perlu mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap buli dengan mewujudkan sistem aduan yang selamat serta mekanisme perlindungan bagi mangsa.
Majikan juga perlu menggalakkan budaya kerja yang lebih inklusif dan menghormati hak pekerja.
Kerajaan pula perlu menggubal undang-undang khusus yang melindungi pekerja daripada buli mental dan mewajibkan syarikat mengambil langkah pencegahan yang serius.
Islam menekankan kepentingan menjaga maruah dan hak setiap individu di tempat kerja.
Konsep ehsan dalam Islam mengajar umatnya untuk memperlakukan orang lain dengan adil dan penuh hormat.

Ini jelas dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Seorang Muslim adalah orang yang orang lain selamat dari lisan dan tangannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Perbuatan buli juga diancam dengan balasan berat di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW: “Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Intipati hadis-hadis Rasulullah SAW ini satu isyarat jelas bahawa seorang pekerja di tempat kerja perlu melayan pihak lain dengan baik dan tidak menzalimi dan menindas mereka.
Oleh itu, amalan buli di tempat kerja jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan yang dianjurkan dalam Islam.
Kesedaran masyarakat terhadap buli di tempat kerja perlu dipertingkatkan supaya lebih ramai individu berani bersuara dan menuntut hak mereka.
Dengan usaha bersepadu daripada semua pihak, persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan harmoni dapat diwujudkan.
Buli bukan sekadar masalah individu, tetapi satu isu sosial yang perlu diberi perhatian serius agar setiap pekerja di Malaysia dapat bekerja dengan keadaan maruah dan kesejahteraan mereka terjamin.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








