SURAT DARIPADA PEMBACA
Salam Pengarang Malaysia Tribune.
Saya mengikuti dengan penuh minat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menegur pihak Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) mengenai dakwaan ketidaktelusan proses perolehan tender bernilai RM58.45 juta, baru-baru ini.
Pada mulanya, saya beranggapan isu ini melibatkan salahguna kuasa yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan, namun setelah mendengar penerangan menteri yang terlibat, saya mula faham kepentingan adanya tatakelola yang ketat dalam sesuatu proses pemilihan tender bagi mengelakkan tanggapan sedemikian.
Jawapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Parlimen hari ini, membuka mata saya bahawa kerajaan amat serius dalam isu tatakelola terutamanya yang membabitkan dana kerajaan.
DS Zambry dengan panjang lebar menerangkan, kementeriannya telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memperbetulkan segala kepincangan yang ada dalam urusan pemerolehan.
Antaranya, penubuhan Unit Integriti yang dianggotai individu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan juruaudit, yang diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Universiti sebagai satu entiti berasingan supaya lebih telus dan bebas.
Selain itu, beliau turut berkata, kementerian turut mengambil langkah segera dengan mengemas kini garis panduan perolehan UKM, yang didapati tidak dikemas kini.
Saya berpandangan, KPT amat proaktif dan amat serius dalam mengambil langkah segera bagi memastikan isu yang melanda HCTM tidak terjadi pada institusi pengajian tinggi yang lain.
Isu tatakelola di jabatan dan kementerian bukan baharu, tetapi usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara menyeluruh bagi mengatasi masalah ini amat jelas.
Ada juga mulut-mulut sinis yang mengatakan, usaha ini sesuatu yang sia-sia dan tidak akan berjaya, namun saya berpandangan perubahan tidak datang sekelip mata terutamanya dalam mengubah sesuatu yang sudah menjadi sistemik.
Apapun, saya berharap usaha memperbetulkan tatakelola ini akan berjaya kerana perubahan ke arah kebaikan ini akhirnya akan dapat memakmurkan rakyat dan negara secara keseluruhannya.
PEMERHATI BEBAS, KUALA LUMPUR
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








