BN akan bertemu kepimpinan MIC selepas PRN Sabah
MEMBAKUT – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan cuba mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 mengenai masa depan parti komponen itu dalam gabungan berkenaan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau yakin pimpinan tertinggi MIC akan membuat pertimbangan sebaik mungkin, terhadap resolusi diluluskan perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC ke-79, hujung minggu lalu.
“Kita akan bertemu dengan kepimpinan tertinggi MIC. Saya sendiri akan cuba berjumpa mereka supaya kita dapat menyelesaikan perkara ini secara baik. Kita tunggu sehingga laut yang bergelora, ombak kuat dan air pasang surut kembali tenang.
“Kita akan baiki ‘kapal’ kita, tampal mana-mana kebocoran, betulkan apa yang salah, dan teruskan perjalanan selepas ribut berlalu,” kata Mohamad kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus komuniti di Kampung Binsulok, hari ini.
Laporan media kelmarin menyebut, Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan dilapor membentangkan tiga usul.
Ia termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk jajaran baharu.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik sebagai berkata, ketiga-tiga usul, termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








