BERSATU larang sertai perhimpunan anjuran ahli dipecat
KUALA LUMPUR – BERSATU dengan tegas mengingatkan semua ahlinya supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjumpaan atau perhimpunan yang dianjurkan oleh individu yang telah dipecat oleh Lembaga Disiplin parti berkenaan.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mana-mana ahli yang bersekongkol dengan individu atau pihak yang bertindak bertentangan dengan Perlembagaan parti serta mengeluarkan kata-kata kesat yang mencemarkan nama baik dan maruah parti boleh dikenakan tindakan disiplin.
“Lembaga Disiplin memutuskan bahawa (Timbalan Presiden BERSATU) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa individu dipecat hak keahlian di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa hari ini kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.
“Menurut Fasal 9.1.1, setiap ahli mempunyai tanggungjawab mendukung matlamat dan tujuan parti serta melaksanakan dasar parti, manakala Fasal 9.1.4 menegaskan setiap ahli wajib mematuhi Perlembagaan parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Baca juga : Wan Ahmad Fayhsal kini dipecat daripada BERSATU
Susulan itu, Azmin memohon kerjasama semua pimpinan dan ahli parti untuk menjunjung Perlembagaan parti dan mencintai BERSATU sebagai wahana inklusif, progresif demi masa depan umat dan negara Malaysia yang tercinta.
Terdahulu, Mohamed Azmin dalam kenyataan memaklumkan Hamzah dipecat hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU kerana tindakan Ahli Parlimen Larut tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti berkenaan.
Lembaga Disiplin yang bersidang semalam memutuskan untuk memecat lima lagi ahli berkuat kuasa hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








