Kemelut di Perlis: Afnan Hamimi cadang PAS ambil alih teraju PN
KUALA LUMPUR – Kegagalan BERSATU mengawal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti sendiri yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menolak pelantikan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis menunjukkan kelemahan jelas pimpinan parti itu mengemudi Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, fakta jelas menunjukkan wujud kelemahan kepimpinan apabila ADUN parti terbabit bertindak menandatangani SD tanpa sebarang tindakan disiplin diambil.
Menurut beliau, pimpinan parti berkenaan sebelum ini menyatakan tiada arahan dikeluarkan kepada ADUN mereka untuk menandatangani SD tersebut.
“Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan tegas dikenakan terhadap wakil rakyat yang terlibat, berbeza dengan tindakan PAS yang pernah mengambil langkah disiplin terhadap tiga bekas ADUNnya dalam kes terdahulu.
“Lebih mengelirukan, individu yang terlibat bukan sahaja tidak dikenakan tindakan, malah namanya turut dihantar sebagai calon Menteri Besar. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan dan ketegasan kepimpinan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Afnan menegaskan kegagalan memberi arahan dan pada masa yang sama gagal mengambil tindakan membawa maksud pimpinan tersebut secara tidak langsung merestui tindakan ADUN berkenaan.
“Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan pula adalah kawan yang khianat,” tegas beliau.
Susulan kemelut politik yang berlarutan di Perlis, Afnan berpandangan bahawa PAS wajar mengambil alih peranan mengetuai PN sebagai langkah memperkukuh kepimpinan gabungan itu.
Beliau turut mencadangkan penstrukturan semula gabungan tersebut melalui pendekatan PN 2.0 yang digabungkan dengan Muafakat Nasional 2.0, termasuk melantik Presiden PAS sebagai Pengerusi PN.
“Yang khianat tidak boleh dijadikan kawan. Yang lemah tidak boleh menjadi ketua. Yang khianat, sila berambus. Yang lemah, sila turun,” katanya.
Kemelut politik di Perlis terus meruncing selepas ADUN Kuala Perlis dari BERSATU, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.
Ia selepas Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan susulan desakan politik hingga menyebabkan lima ADUN BERSATU dan tiga ADUN PAS menarik sokongan terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








