Zambry suntik semangat Kontinjen WUG 2025
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyuntik semangat perjuangan kepada atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bakal menggalas cabaran negara ke temasya World University Games (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman sambil merakamkan penghargaan atas kejayaan membanggakan kontinjen negara dalam ASEAN University Games (AUG) 2024 di Indonesia.
Dalam majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan AUG 2024 dan Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen WUG 2025 yang berlangsung semalam, Zambry menegaskan peranan penting atlet IPT bukan sahaja sebagai pencabar sukan malah sebagai duta diplomatik Malaysia di mata dunia.

“Saudara-saudarilah yang akan menjadi duta kepada negara kita. Bukan sekadar membawa panji universiti tetapi imej Malaysia di mata dunia,” ujar beliau menerusi satu hantaran di Facebook KPT.
Zambry turut menekankan konsep ‘The Thinking Athlete’ iaitu atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam prestasi sukan tetapi juga memiliki kecerdasan intelek (IQ), emosi (EQ) dan spiritual (SQ) serta beradab dan berhemah dalam membawa diri.
“You are the real thinking athlete. Bukan hanya hebat dari segi IQ, tetapi juga dari segi EQ dan SQ. Inilah realiti baharu yang perlu kita terapkan dalam pembinaan anak muda,” tegas beliau.
Kontinjen Malaysia ke AUG 2024 di bawah pimpinan Pengerusi Majlis Sukan Komuniti (MASKOM), Suhairi Ismail berjaya mengutip 38 pingat emas, 47 perak dan 62 gangsa
Ia berjaya melepasi sasaran ditetapkan dan menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan daripada 11 negara ASEAN yang bertanding.
Acara olahraga, renang dan judo menjadi penyumbang utama pingat emas negara.
Sementara itu, kontinjen ke WUG 2025 terdiri daripada 93 anggota termasuk 64 atlet dari 27 IPT yang akan bertanding dalam enam acara sukan iaitu olahraga, renang, taekwondo, memanah, gimnastik artistik dan badminton.
Antara nama besar dalam kontinjen kali ini ialah Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pemegang rekod kebangsaan 100m dan 200m; Umar Osman (jaguh 400m dari Politeknik Ungku Omar); Khiew Hoe Yean (perenang rekod kebangsaan dari UCSI University); Syaqiera Mashayikh (pemanah recurve wanita dan atlet Olimpik negara) dan Muhammad Syafiq Zuber (juara taekwondo Sukan SEA dari Politeknik Shah Alam).
Zambry turut menyampaikan penghargaan kepada jurulatih, pegawai dan urusetia yang bertungkus-lumus menyediakan atlet IPT untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen WUG 2025, Datuk Prof Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff iaitu Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai tanda amanah dan semangat untuk mengharumkan nama negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















