BERITA SEMASA

Sultan Selangor titah elak spekulasi, tuduhan negatif isu pelantikan badan kehakiman

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menitahkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan yang tidak berasas berhubung isu pelantikan dalam badan kehakiman negara tanpa maklumat yang sahih dan lengkap.

Baginda bertitah, sebarang pelantikan jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak mestilah dibuat dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan.

Titah Baginda lagi, proses pelantikan tersebut perlu dijalankan secara telus dan berhati-hati bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara serta prinsip keadilan terus dijunjung tinggi.

“Beta menyokong penuh kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan jawatan penting lain hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baca juga: Isu kehakiman: Kerajaan komited telus, hormat Perlembagaan – Azalina

Kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang telah bersidang semalam, sehari selepas Mesyuarat Pre-Council diadakan.

Antara agenda utama mesyuarat tersebut termasuklah rundingan pelantikan jawatan-jawatan utama dalam badan kehakiman negara.

“Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mesyuarat yang berlangsung berjalan dengan baik dan lancar,” titah Baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button