Isu kehakiman: Kerajaan komited telus, hormat Perlembagaan – Azalina
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI memberi jaminan bahawa segala isu berkaitan badan kehakiman termasuk kebimbangan yang dibangkitkan menerusi perhimpunan ‘Walk to Safeguard Judicial Independence’ anjuran Badan Peguam Malaysia akan ditangani secara telus dan bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan mengambil maklum kebimbangan yang dizahirkan dan menegaskan komitmen penuh untuk menyelesaikan isu tersebut berpandukan lunas Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan MADANI sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia.
“Kita teliti setiap kebimbangan dan akan tangani mengikut saluran yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azalina berkata, mekanisme menangani salah laku dalam badan kehakiman telah diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas.
“Dalam kes tertentu, hakim boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri selepas berbincang dengan Ketua Hakim Negara,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, Ketua Hakim Negara mempunyai kuasa merujuk pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman seperti termaktub dalam Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703], manakala kod etika bertulis seperti Judges’ Code of Ethics 2009 menjadi rujukan bagi mengekalkan piawaian tinggi integriti hakim.
“Kerangka etika ini diwujudkan bagi menjamin kebebasan badan kehakiman daripada campur tangan politik atau pengaruh luar, sekali gus memastikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara,” katanya lagi.
Dalam usaha memperkukuh ketelusan pelantikan hakim, Azalina memaklumkan kerajaan kini sedang melaksanakan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman yang dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri bersama Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Kajian ini bertujuan memberi gambaran lebih jelas mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) serta menangani isu-isu yang turut dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia.
“Malah, Badan Peguam turut dijemput menyertai kajian ini bagi memastikan proses pelantikan hakim lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau betkata, semua perbincangan mengenai institusi kehakiman perlu dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] dan undang-undang sedia ada.
“Kerajaan menyeru semua pihak supaya terus menghormati proses dan prinsip perlembagaan yang menjadi tunjang kepada kebebasan badan kehakiman negara,” katanya lagi.
Terdahulu, lebih 1,000 peguam, aktivis, ahli politik dan orang ramai menyertai demonstrasi aman ‘Walk to Safeguard Judicial Independence’ dari Istana Kehakiman Putrajaya ke Jabatan Perdana Menteri sebagai tanda solidariti mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment