BERITA SEMASA

Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet, hari ini.

Rafizi dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya, beliau meletak jawatan kerana baginya, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan, seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi.

“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya.

Beliau pada masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi sokongan penuh kepada beliau sepanjang berada di kementerian tersebut.

“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button