BERITA SEMASAPMX

PM tegaskan tidak campur tangan dalam Laporan Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam penyediaan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau hanya menerima taklimat sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen.

Beliau berkata, taklimat yang diberikan dua minggu lalu itu adalah bagi tujuan makluman dan bukan untuk menentukan hasil atau keutamaan laporan berkenaan.

“Mereka beri taklimat kepada saya, tetapi bukan untuk saya ubah atau campur tangan. Ia hanya sebagai persediaan sebelum saya membentangkannya kepada Kabinet dan Parlimen untuk perbahasan terbuka, sejajar dengan prinsip tadbir urus baik dan ketelusan,”katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha institusi audit di rantau ASEAN untuk melaksanakan visi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti.

“Saya menyokong penuh institusi audit ASEAN melaksanakan visi ini. Tadbir urus perlu kekal sebagai tiang strategik utama, sebelum kita boleh bercakap tentang kualiti audit dan pematuhan laporan kewangan,” katanya.

Menurutnya, institusi audit wajar diberi kuasa beroperasi secara bebas dan diberi ruang untuk menelusuri jejak akauntabiliti ke mana sahaja ia membawa.

Katanya, langkah itu penting dalam memperkukuh integriti kerajaan yang akhirnya akan memberi kesan positif terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button