BERITA SEMASA

Pasangan kembar teruja berkongsi pentas konvokesyen di UIAM

GOMBAK – Pasangan kembar seiras mencuri tumpuan apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-41, di sini kelmarin.

Berasal dari Terengganu, Ain Syafiqah Balqis dan Ain Syakirah Balqis Azman merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik.

Pasangan kembar itu menyifatkan kejayaan mereka sebagai hasil perjuangan bersama sejak awal pengajian.

Kedua-dua pasangan kembar ini telah bekerja di dalam sektor perbankan di ibu negara.

Menurut Ain Syafiqah Balqis selaku kakak, kehadiran adiknya di dalam kelas sentiasa menjadi kekuatan buatnya.

“Bila saya ada satu kelas dengan dia, rasa macam ada support system. Jadi kami lebih bersemangat walaupun ada cabaran.

“Kadang-kadang kami sama-sama rasa tak yakin atau tak faham tapi bila berbincang dan buat bersama, keyakinan itu muncul. Banyak tugasan kami siapkan berdua,” katanya.

Bagi Ain Syakirah Balqis pula, pengalaman belajar bersama kakaknya menjadi nadi kepada usaha mereka menamatkan pengajian.

“Kami sentiasa saling membantu antara satu sama lain, kongsi nota dan bertukar pendapat.

“Apa saja yang salah seorang tak capai, kami usahakan sama-sama. Walaupun pencapaian akademik berbeza, kami seimbangkan dalam kelas. Ada masa saya kuat dalam satu topik, ada masa kakak pula,” kongsinya.

Sejak dari kecil, mereka sentiasa berdua dari alam persekolahan hingga ke zaman belajar di universiti. Mereka tidak bersaing sesama sendiri tetapi saling melengkapi antara satu sama lain.

Kedua-duanya mengakui terharu dan bersyukur dapat berkongsi pentas konvokesyen pada hari bermakna itu, sebagai penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong perjalanan akademik mereka.

Kini, Ain Syafiqah dan Ain Syakirah telah memulakan kerjaya masing-masing dalam sektor perbankan terkemuka di ibu negara sekali gus membawa kejayaan akademik dan semangat kekeluargaan mereka ke tahap seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button