BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC sedia kerjasama dengan Azalina, perkukuh keselamatan dalam talian kanak-kanak – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bagi memperkukuh perundangan keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan perlindungan kanak-kanak daripada jenayah seksual.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang terlibat secara langsung dalam isu tersebut akan memainkan peranan penting, termasuk melalui pelaksanaan pelesenan ke atas platform media sosial.

“Oleh kerana MCMC merupakan badan berkanun yang terlibat dalam isu ini, sudah pasti kerjasama yang erat akan diperlukan kerana platform media sosial perlu dilesenkan dan berdasarkan pelesenan itu, beberapa tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 dan pelancaran MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio di Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Fahmi
Fahmi (tiga dari kanan) menyempurnakan pelancaran MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Baca juga : Lindungi privasi anak, mereka bukan bahan konten

Fahmi berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi melihat pendekatan terbaik yang boleh diambil berdasarkan pengalaman MCMC dan kementeriannya dalam menangani isu keselamatan di media sosial.

“Pada masa yang sama, kita bakal ada Akta baharu, iaitu Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act) yang akan memberi kuasa kepada MCMC untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana platform media sosial yang ingkar terhadap tanggungjawab mereka.

“Kita akan lihat apakah cara terbaik untuk bantu Datuk Seri Azalina berkaitan akta yang beliau maksudkan itu,” katanya.

Semalam, Azalina memaklumkan kerajaan sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga.

Ia termasuk cadangan pindaan mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak dan penyertaan dalam program kesedaran serta pendidikan keselamatan digital.

Langkah itu, katanya, adalah selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman jenayah seksual dalam talian.

Azalina kini berada di Uzbekistan bagi menghadiri Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button