AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Malaysia duduki tangga kedua pasaran automotif Asia Tenggara – Tengku Zafrul

SERDANG – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 terus menjadi pemangkin kemajuan sektor automotif negara, apabila Malaysia kini diiktiraf sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan ke-23 di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kejayaan itu dibuktikan menerusi jumlah Keseluruhan Industri (TIV) yang mencecah hampir 817,000 unit pada tahun 2024.

“Saya berbangga untuk memaklumkan bahawa NIMP bersama NAP 2020 telah melonjakkan industri automotif negara ke tahap yang membanggakan,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Pameran Automotif Malaysia di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) di negara ini semakin memberangsangkan hasil sokongan pelbagai agensi seperti MARii, SIRIM, KPKT dan PETRA.

Beliau berkata, antara pencapaian utama sektor EV negara termasuk sambutan positif terhadap Program MARiiCAS E-bike yang menawarkan rebat RM2,400 kepada pemohon berpendapatan bawah RM120,000 setahun.

Jelas Zafrul, sejak 2024 hingga suku pertama 2025, sebanyak 8,658 permohonan telah diluluskan dengan nilai rebat berjumlah RM20.8 juta.

“Dari segi infrastruktur, sebanyak 4,161 stesen pengecas EV telah dibina di seluruh negara setakat 31 Mac 2025, terdiri daripada 2,857 pengecas AC dan 1,304 pengecas DC, selaras dengan komitmen kerajaan mencapai sasaran 10,000 stesen menjelang hujung tahun ini.

“Ketika ini, sebanyak 43,572 kenderaan elektrik bateri (BEV) berada di atas jalan raya Malaysia, dengan 9,880 unit EV dan hibrid terjual dalam tempoh suku pertama 2025 sahaja,” katanya.

Lebih membanggakan, Zafrul berkata, Perodua telah berjaya membangunkan model EV pertamanya dan memulakan fasa ujian pada 24 April lalu.

“Pengeluaran komersial dijangka bermula hujung tahun ini. Model tersebut yang dikenali sebagai eMO (Electric Motion Online) telah pun dikesan di jalan raya dengan rekaan penyamaran berwarna hitam putih, hanya lima bulan selepas konsep eMO-II diperkenalkan,” katanya.

“Pendekatan menyeluruh negara terhadap pembangunan ekosistem EV yang mampan akan terus mengukuhkan daya saing industri automotif Malaysia di peringkat global,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button