Kerajaan laksana dua pendekatan proaktif tangani isu 3R – Aaron Ago Dagang
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) melalui penglibatan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan secara bersepadu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan “Whole of Government” tersebut terbahagi kepada dua segmen utama iaitu penguatkuasaan dan intervensi serta kesedaran.
Menurut beliau, segmen penguatkuasaan melibatkan tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang mencetuskan isu 3R.
“Proses ini dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa yang berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing di bawah pelbagai akta sedia ada.
“Antara kementerian dan agensi utama yang memainkan peranan penting ialah Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Tindakan undang-undang hanya diambil selepas pihak penguat kuasa menjalankan siasatan dan kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kata Aaron, segmen kedua pula memberi tumpuan kepada usaha jangka panjang yang bersifat reformatif.
“Pendekatan itu merangkumi langkah intervensi, mediasi serta peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Dalam hal ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memainkan peranan utama melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
“Antaranya termasuk pemantauan isu-isu sensitif, pelantikan mediator komuniti bagi meredakan ketegangan di peringkat tempatan serta penubuhan Pusat Mediasi Komuniti sebagai platform penyelesaian konflik secara damai,” ujar beliau.


Aaron berkata, selain itu, beberapa mekanisme sokongan turut diwujudkan seperti Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Jawatankuasa HARMONI, MExUnity dan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang berperanan dalam memberikan panduan strategik kepada kerajaan.
Jelasnya, pelbagai program dan kempen perpaduan terus digerakkan bagi menyemai semangat saling hormat-menghormati dan memperkukuh integrasi nasional.
Katanya, pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sahaja bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sensitiviti 3R malah turut menumpukan perhatian kepada pendidikan, kesedaran serta usaha pemulihan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen jitu kerajaan dalam memastikan perpaduan nasional terus terpelihara dan menjadi asas kukuh kepada keharmonian di bumi Malaysia,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








One Comment