
RAKAN platform rakyat salur aduan berkaitan perpaduan
SHAH ALAM – Dalam usaha menangani laporan rakyat mengenai isu-isu perpaduan dan keharmonian, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini memperkenalkan Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sistem itu merupakan satu inisiatif yang mendekatkan rakyat kepada kerajaan dan memperkasa komuniti untuk menjadi mata dan telinga terhadap usaha menjaga keharmonian nasional.

“Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan penyampaian aduan tetapi juga membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan,” katanya selepas merasmikan Town Hall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tambah Aaron, platform itu dibangunkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan isu-isu perpaduan, memperkukuh pengurusan maklumat dan respons serta meningkatkan kecekapan sistem pemantauan keselamatan dan keharmonian di peringkat akar umbi.
BACA : Kerajaan laksana dua pendekatan proaktif tangani isu 3R – Aaron Ago Dagang
Selain itu katanya, sebuah aplikasi mudah alih juga akan disediakan bagi memudahkan proses tersebut.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh kerjasama antara rakyat dan pihak berkuasa dalam menangani cabaran keselamatan harian,” ujarnya.
Menurut Aaron lagi, maklumat aduan dan datanya akan dipaparkan secara langsung dalam laman web RAKAN yang boleh dilihat oleh orang awam bagi melihat isu dan penyelesaian isu-isu perpaduan termasuk berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
“Usaha ini diharap mampu menangani isu-isu sensitif apabila maklumat aduan akan dikongsikan dengan dua agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya.
Selain itu, Aaron memaklumkan kementeriannya menyasarkan peningkatan skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kepada 0.70 pada tahun ini berbanding 0.629 pada 2022 yang masih berada dalam julat tahap perpaduan baik dan terkawal.
“Meningkatkan skor IPNas bukan semata-mata soal statistik, tetapi memperkukuh asas sosial negara kita dari tahap persepsi hinggalah ke tindakan,” jelasnya.
Tidak ketinggalan, Aaron juga menyeru rakyat agar menggunakan kuasa sivil dalam membuat pilihan etika berdepan cabaran salah guna teknologi.
“Kita mungkin tidak memegang senjata seperti anggota keselamatan, namun kita mempunyai kuasa sivil iaitu kuasa untuk membuat pilihan bijak, menolak kebencian dan menanam benih keamanan,” tegasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |