
Dakwaan palsu MCMC ceroboh data peribadi: Keperluan data tidak semestinya tindakan pencerobohan peribadi – Persatuan Pengguna Siber
KUALA LUMPUR – Dalam era ekonomi digital yang pesat berkembang, pelbagai institusi kerajaan memerlukan akses kepada data real time (masa nyata) untuk merancang dasar awam dengan lebih efektif.
Salah satu agensi yang memainkan peranan penting dalam aspek ini adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Kementerian Komunikasi, khususnya dalam kerjasama strategik mereka dengan syarikat telekomunikasi tempatan.

Isu mula tular apabila laporan South China Morning Post mendakwa bahawa pihak berkuasa Malaysia berhasrat mendapatkan akses kepada data peribadi pengguna telefon bimbit melalui syarikat telekomunikasi.
Kenyataan itu disambut dengan kritikan oleh beberapa pengulas politik seperti Lim Sian See dan Naim Brundage yang mendakwa tindakan itu mengancam kebebasan individu dan privasi rakyat.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, polemik itu hanya dilihat daripada satu sisi negatif, namun kebaikannya ditolak tepi tanpa memahami isu dalam konteks sebenar.
“Dalam landskap digital masa kini, data bukan sahaja penting untuk pembangunan sektor ekonomi malah memainkan peranan strategik dalam pelancongan, keselamatan negara dan pengurusan bencana.
“Ini kerana apabila pelancong masuk ke negara kita, benda pertama yang mereka akan buat adalah berhubung dengan syarikat telekomunikasi.
“Data ini sebahagiannya melibatkan aspek keselamatan negara,” jelas Siraj kepada Malaysia Tribune.
Siraj turut memberi contoh negara seperti Indonesia dan Estonia yang telah lama melaksanakan sistem pendaftaran peranti mudah alih bagi tujuan keselamatan dan pengumpulan statistik pelancong.

“Di Indonesia, pelancong perlu mendaftarkan telefon pintar mereka dengan Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) sejurus tiba, sebelum boleh menggunakan sim kad tempatan.
“Jika tidak daftar telefon di lapangan terbang, mereka tak boleh guna sim kad negara tersebut. Jadi, data itu digunakan untuk mengira kemasukan pelancong dan ia melalui syarikat telekomunikasi,” tambah beliau.
Jelas Siraj, dalam konteks Malaysia, maklumat yang diperoleh melalui kerjasama MCMC dan syarikat telekomunikasi dapat dimanfaatkan oleh agensi seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk menghasilkan statistik yang lebih tepat dan terkini.
“Ini akan membantu pembuat dasar merangka strategi pembangunan yang lebih responsif, tanpa perlu menunggu bancian tradisional yang hanya berlaku lima atau sepuluh tahun sekali,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh kepentingan data dalam situasi krisis.

“Contohnya bila berlaku banjir, macam mana kerajaan nak tahu berapa ramai rakyat berada di kawasan terjejas?
“Data daripada pencawang telekomunikasi yang boleh beri gambaran masa nyata iaitu melalui jumlah telefon pintar aktif dalam kawasan itu. Ini penting untuk agihan bantuan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa MCMC bukanlah badan politik dan hanya menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan.
“Kena adil, MCMC bukan badan politik. Mereka ada justifikasi dan kenyataan rasmi. Kalau kita terus serang satu pihak tanpa beri peluang penjelasan, kita sekat usaha kerajaan sendiri untuk membina sistem yang lebih efisien,” ujar Siraj.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan ruang perbincangan awam dan membentuk satu ekosistem literasi data nasional agar rakyat tidak terus keliru dengan istilah teknikal mahupun termakan persepsi bahawa mereka sentiasa diawasi.
“Perkara ini bukan untuk diperdebatkan, tetapi untuk diperjelaskan dengan fakta yang mudah difahami.
“Bila masyarakat faham tujuan dan batasan penggunaan data itu, barulah keyakinan dapat dibina,” ujar Siraj.
Tambahnya, kecanggihan teknologi harus digunakan secara strategik untuk kebaikan rakyat.
“Akses kepada data masa nyata bukan sekadar isu privasi, tetapi merupakan keperluan dasar dalam menghadapi realiti baharu dunia digital.
“Kerajaan, melalui agensi seperti MCMC harus diberi ruang untuk menjelaskan rasional tindakan mereka, bukan terus dihukum dengan persepsi politik semata-mata,” tegasnya.
Susulan laporan South China Morning Post yang mendakwa sumber industri telekomunikasi Malaysia telah dipaksa untuk menyerahkan maklumat pergerakan pengguna telefon mudah alih kepada kerajaan.
MCMC telah mengeluarkan kenyataan bahawa data tersebut digunakan bagi tujuan analisis statistik di bawah DOSM, khususnya dalam sektor pelancongan dan tidak mengandungi maklumat individu atau nama pengguna.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |