BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASIMALAYSIA MADANI

Hari Kebangsaan 2025 tawar pengalaman istimewa dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bakal berlangsung penuh istimewa pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya dengan mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, yang menekankan keseimbangan pembangunan negara berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan perpaduan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Julina Johan berkata, sambutan kali ini dirancang lebih inklusif dengan gabungan acara rasmi dan sampingan bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan.

“Tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ bukan sekadar slogan, tetapi cerminan visi negara. Jalur Gemilang yang dikibarkan perlu dijaga dengan penuh hormat kerana ia lambang kedaulatan dan roh perjuangan bangsa.

“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk sama-sama menyaksikan raptai penuh pada Jumaat, 29 Ogos ini di Putrajaya sebelum acara kemuncak pada Hari Kebangsaan berlangsung keesokannya,” katanya ketika menyampaikan taklimat media di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Acara rasmi sambutan bermula seawal jam 7 pagi dengan ketibaan dif kehormat, diikuti Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada jam 8 pagi.

Antara acara kemuncak ialah nyanyian Negaraku, tembakan meriam 14 das, bacaan Ikrar Rukun Negara, perbarisan kontinjen, perarakan aset, persembahan lintas udara dan persembahan khas berkonsepkan MADANI.

Keistimewaan sambutan kali ini turut diserikan dengan lagu tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” ciptaan Affan Mazlan dan dinyanyikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan iringan Orkestra RTM.

Julina berkata, selain acara rasmi pelbagai acara sampingan juga disediakan sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menarik penyertaan masyarakat.

“Antaranya ialah persembahan tanpa henti selama 30 jam, 20 persembahan seni budaya, 10 bengkel komuniti, 50 vendor makanan dan minuman, 30 vendor jenama tempatan serta empat pengaktifan kreatif yang berlangsung dari 27 Julai hingga 16 September.

“Untuk kemudahan pengunjung, lebih 15,000 lot parkir disediakan di sekitar Putrajaya dengan sokongan 100 bas shuttle, enam bot air, tiga cruise, 60 trak makanan, 200 tandas bergerak serta khemah perubatan,” katanya lagi.

Julina turut berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2025 bukan sahaja untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, malah wadah penyatuan rakyat pelbagai kaum di bawah gagasan Malaysia MADANI.

“Marilah kita jadikan Hari Kebangsaan 2025 sebagai detik memperbaharui semangat cinta tanah air, memperkukuh perpaduan dan menghargai pengorbanan pejuang negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button