PM zahir rasa bangga dengan persembahan formasi grafik manusia Hari Kebangsaan 2025
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan formasi grafik manusia dan koir pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini.
Menurut Anwar, pertunjukan oleh 2,000 pelajar sekolah menengah itu disifatkannya sebagai pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia.
“Saya bangga dengan anak-anak semua. Pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia,” katanya di hadapan pentas formasi berkenaan selepas majlis gilang-gemilang itu berakhir di Dataran Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai pujian yang diberikan oleh Perdana Menteri, Nurul Qistina Jama’atullaily, 14, yang merupakan salah seorang peserta formasi berkenaan berkata, dia berasa gembira kerana dapat membanggakan negara selepas memberikan persembahan terbaik.
“Perasaan memang sangat gembira sebab dapat buat yang terbaik untuk sambutan merdeka dan Hari Kebangsaan, lebih-lebih lagi selepas dua bulan menjalani latihan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Nur Zati Ayesha, 14, berkata, pengalaman menyertai acara itu mendidik mereka untuk lebih berdisiplin serta menepati masa, selain belajar mendengar arahan dengan penuh tanggungjawab.
“Semuanya bergantung kepada mindset kita. Kalau kita fikir nak pengsan, memang kita akan pengsan. Jadi kena kuatkan mental, dan saya berharap dapat menyertai lagi pada tahun depan,” ujarnya.
Ditanya mengenai cabaran melibatkan formasi grafik, peserta yang turut terlibat, Irdina Zahra, 14, berkata, semuanya menjadi mudah kerana selepas berlatih selama dua bulan, mereka dapat memahami serta melaksanakan apa yang perlu dilakukan.

Berpandukan buku plot gergasi setebal 11 muka surat, para pelajar membentuk frasa ikonik antaranya “Daulat Tuanku”, “Rukun Negara” dan “Negaraku”.
Mereka turut mempersembahkan rangkaian lagu patriotik serta rakyat seperti Wau Bulan, Dia Datang dan Sayang Kinabalu.
Perarakan tahun ini menampilkan 81 kontinjen membabitkan 14,062 peserta, termasuk 21 pancaragam, tujuh perarakan kereta berhias, 508 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan daripada unit perkhidmatan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







