Peserta teruja, raptai penuh Hari Kebangsaan 2025 berjalan lancar
PUTRAJAYA – Peserta raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini berjaya mempersembahkan latihan terakhir dengan lancar di Dataran Putrajaya yang turut dibanjiri ribuan pengunjung seawal jam 6 pagi.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata, perjalanan raptai penuh berlangsung baik dengan semua peserta mempamerkan persembahan memuaskan serta mengikut perancangan.
“Kita bersyukur kerana cuaca baik,
persembahan dan perarakan juga terbaik, semuanya dalam keadaan yang dirancang.
“Kita rekodkan masa 1 jam 40 minit, memang seperti dijadualkan. Insya-Allah, jika cuaca pada hari sambutan turut baik, kita dapat teruskan acara seperti yang dirancang,” ujarnya ketika ditemui selepas sesi raptai penuh hari ini.
Tambahnya, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau sesi itu turut memberi keterujaan kepada peserta terutama 2,000 pelajar yang menyertai persembahan grafik manusia.
“Beliau datang tinjau tadi, beliau memang terujalah dengan Human Graphic. Sebenarnya ini pun dinantikan oleh para pelajar. Sebab pelajar yang kat Human Graphic ini dia seramai 2,000 orang.
“Mereka pun sangat-sangat teruja dengan kedatangan Perdana Menteri dan dapat kesempatan nak bercakap sedikit,” katanya.
Kali ini, pihaknya menjangkakan kira-kira 100,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Baca juga : PM buat kejutan hadir raptai penuh Hari Kebangsaan 2025
Selain acara kemuncak, pelbagai program sisipan diatur termasuk Riuh Merdeka, persembahan konsert, tayangan filem percuma dan persembahan bunga api.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan menampilkan lebih 14,000 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias serta persembahan seni budaya selain pertunjukan udara yang menanti pengunjung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














