Usaha diplomasi tertinggi PM berjaya bawa pulang 23 delegasi GSF
SEPANG – Tahap diplomasi tertinggi yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin dunia berjaya memastikan 23 rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibawa pulang dengan selamat ke tanah air.
Kesemua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, selepas ditahan secara haram oleh pihak berkuasa Israel ketika dalam perjalanan ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Ketibaan mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bersama ahli keluarga serta ratusan orang awam yang mula berkumpul di balai ketibaan sejak pukul 7.00 malam.
Dalam sidang media, Mohamad merakamkan penghargaan kepada Anwar atas usaha beliau menggunakan saluran diplomatik tertinggi bersama kepimpinan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan.
“Kerajaan Turkiye telah membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang ditahan secara haram oleh Israel. Maka, malam ini kita bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya ketika berucap menyambut kepulangan delegasi berkenaan di KLIA malam tadi.
Beliau turut menegaskan, peserta misi berkenaan bukan memasuki wilayah Israel secara haram, sebaliknya mereka dalam perjalanan ke Gaza sebelum dikepung tentera rejim Zionis dan kemudiannya ditahan.
“Jangan dengar cakap-cakap orang. Rakyat Malaysia yang membawa semangat Malaysia MADANI ini telah menunjukkan keberanian luar biasa.
“Dengan usaha diplomasi tertinggi yang digerakkan kerajaan, akhirnya kita dapat membawa pulang anak-anak kita. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments