BERITA SEMASA

Debat koperasi IPT cerminkan kesediaan mahasiswa pimpin ekonomi negara – Ewon

PETALING JAYA – Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Peringkat IPT 2025 bukan sekadar medan pengucapan awam, malah mencerminkan kematangan intelektual dan kepedulian mahasiswa terhadap masa depan ekonomi negara menerusi gerakan koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata koperasi bukan lagi sekadar entiti ekonomi semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi ejen perubahan sosial yang mampan dan pemangkin kepada keadilan ekonomi rakyat.

“Koperasi sudah lebih satu abad menjadi wahana rakyat. Ia bukan sahaja memperkukuh kuasa ekonomi secara kolektif, tetapi turut membina sebuah ekonomi yang adil dan beretika. Koperasi tidak menekan, tidak menindas, tetapi membangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu siaran video sebelum merasmikan majlis penutupan pertandingan debat tersebut di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini.

Baca juga : Langkah ke arah sumbangan dua angka KDNK menerusi pimpinan muda

Ewon menegaskan, dalam kerangka Malaysia MADANI, koperasi menjadi nadi utama yang mengangkat nilai kesaksamaan peluang dan kesejahteraan bersama, sekali gus menjadi jawapan kepada jurang ketidaksamarataan dalam sistem kapitalis yang semakin melebar.

Kerajaan, katanya, komited menjadikan koperasi sebagai antara tonggak utama dalam dasar pembangunan negara menerusi pelaksanaan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030), Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM 2021–2025) dan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM2030).

Pertandingan debat yang berlangsung di peringkat IPT itu menghimpunkan 48 pendebat daripada 23 pasukan mewakili 18 universiti awam dan lima institusi pengajian tinggi swasta seluruh negara.

Lima tema utama yang menjadi usul debat meliputi Pemerkasaan Ekonomi dan Keusahawanan Koperasi, Tadbir Urus, Dasar dan Perundangan, Pendidikan dan Pembangunan Kapasiti, Transformasi Digital dan Inovasi serta Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Komuniti.

Ewon menyifatkan penglibatan aktif mahasiswa sebagai petanda positif bahawa semangat koperasi semakin mengakar dalam kalangan generasi muda yang kini tampil dengan hujah yang bernas dan semangat kepimpinan yang progresif.

“Mereka adalah benih harapan baharu. Pertandingan ini bukan hanya tentang menang dan kalah, sebaliknya mencetuskan idea dasar yang progresif dan memperkukuh pelibatan belia dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap IKMa yang giat memperkasa gerakan koperasi belia di kampus melalui pelbagai program seperti Graduan ke Koperasi (G2K), Pocket Talk Keusahawanan dan Kerjaya serta Program Pembudayaan Koperasi Belia.

Katanya, usaha itu bukan sahaja melahirkan ahli koperasi, malah membina generasi pemimpin muda yang kritis, celik ekonomi dan berwawasan tinggi.

Justeru, sokongan berterusan kepada aktiviti koperasi di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu dipertingkat.

Mengulas potensi sektor itu, beliau berkata koperasi perlu berani meneroka teknologi baharu seperti koperasi digital, aplikasi blockchain dan e-dagang untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam era digital.

Sebagai langkah sokongan, Ewon berkata, pelbagai insentif disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk merancakkan penyertaan belia.

Katanya, insentif itu termasuk Geran Permulaan Koperasi Belia, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Skim Francais Belia (YOUNITY) dan Skim i-Muda.

Tambah beliau, dalam sesi dialog Coop-Talk: Menteri dan Siswa 2025 yang lalu, geran khas sebanyak RM20,000 telah diumumkan untuk menyokong penubuhan koperasi siswa (KOSISWA) di IPT sebagai simbol komitmen kerajaan terhadap pembangunan gerakan koperasi belia.

Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada semua pendebat dan pihak penganjur atas kejayaan penganjuran pertandingan berprestij itu serta berharap ia dapat diteruskan setiap tahun sebagai platform strategik membina kepimpinan koperasi yang dinamik dan progresif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button