
Perkasa sektor koperasi melalui kepimpinan muda: Langkah ke arah sumbangan dua angka KDNK
PETALING JAYA – Sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang kini berada pada paras dua hingga tiga peratus disasar untuk dilonjakkan ke tahap dua angka menerusi kepimpinan generasi muda, khususnya mahasiswa.
Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, pendekatan baharu yang diterajui golongan profesional muda mampu memperkasakan sektor koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi nasional dan penyelesaian jangka panjang kepada isu pengangguran graduan.
“Kalau kita lihat, memang kita berjaya capai sasaran program sedia ada. Namun dasar yang digubal kerajaan hari ini perlu melihat lebih jauh daripada sekadar kejayaan semasa.
“Sebab itu kita mahu lonjakan sumbangan koperasi kepada KDNK ke tahap dua digit. Ia bukan sahaja akan menggerakkan pembangunan ekonomi negara secara lebih mampan, malah membuka peluang pekerjaan yang luas kepada mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Peringkat IPT 2025 yang berlangsung di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini.
Mohd Ali berkata, IKMa komited melahirkan tenaga profesional berkualiti dalam bidang koperasi melalui pelbagai inisiatif tahunan yang melibatkan lebih 40,000 peserta dari seluruh negara.
“Kami di IKMa sentiasa diberi amanah untuk menyediakan platform kepada generasi muda, agar mereka bersedia menyumbang secara profesional dalam sektor ini.
“Saya akan bawa cadangan kepada pihak pengurusan tertinggi untuk mewujudkan Sahabat Muda Koperasi sebagai inisiatif kelestarian masa depan koperasi negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, IKMa juga bakal melancarkan program pensijilan profesional terbuka kepada mahasiswa dan mahasiswi IPT seluruh negara.
“Melalui program ini, pelajar boleh mengambil sijil profesional di IKMa dan seterusnya menjadi ahli kepada Institut Profesional Koperasi yang akan kita tubuhkan bagi menyokong pembangunan sektor ini,” jelasnya.
Terdahulu, pertandingan debat edisi kedua itu menghimpunkan 48 pendebat daripada 23 pasukan yang mewakili 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari seluruh negara.
Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam saingan akhir.
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraih tempat ketiga, manakala Universiti Malaysia Sabah (UMS) menduduki tempat keempat.
Pertandingan ini turut disifatkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, sebagai bukti bahawa isu koperasi kini telah menjadi medan intelektual mahasiswa dan tidak lagi asing dalam kalangan generasi muda.
“Ini bukan sekadar pertandingan debat, tetapi satu gelanggang strategik yang menyuburkan pemikiran mahasiswa dalam konteks dasar, tadbir urus, inovasi digital serta kesejahteraan sosial, seiring aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment