Belanjawan 2026: RM1 bilion peruntukan perhebat Ikhtiar MADANI bagi rakyat
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi tahun 2026 untuk memperhebatkan Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat iaitu inisiatif yang membolehkan komuniti kampung dan sekolah menjana pendapatan sendiri melalui projek ekonomi tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Ikhtiar MADANI bukan sekadar bantuan kewangan tetapi peluang untuk komuniti mencipta pendapatan sendiri, meningkatkan kemahiran, dan menyemai nilai kerjasama antara generasi muda dan warga kampung.
“Sejak 2024, lebih 9,500 aktiviti ekonomi telah dijalankan melalui program Sejati MADANI, membolehkan Jawatankuasa Kampung menentukan projek masing-masing dengan dana sehingga RM100,000.
“Antara kejayaan termasuk kolam memancing di Kampung Sungai Protan, Perak menjana RM90,000 sebulan dan projek semaian benih kelapa di Selangor menjana RM25,000 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Di Terengganu, Kampung Hiliran Jejawi mengusahakan produk santan, kelapa parut dan kerisik dengan pendapatan bulanan RM40,000, manakala Kampung Abi, Perlis berjaya menjana RM15,000 sebulan melalui perniagaan ketupat palas dan makanan sejuk beku.
“Tahun hadapan, Sejati MADANI diperluas untuk melibatkan golongan muda dalam projek pertanian dan perniagaan seperti mesin layan diri serta sistem pengairan baja (fertigation).
“Program Kampung Angkat MADANI ditingkatkan kepada 500 kampung manakala Sekolah Angkat MADANI disasarkan kepada 1,500 sekolah dengan sokongan sektor swasta,” katanya.
Selain itu, pimpinan negara dan pegawai kanan termasuk Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara akan terus turun padang bagi menyelesaikan isu di kampung dan sekolah, memastikan setiap projek berjalan lancar dan memberi manfaat sebenar kepada komuniti.
Inisiatif ini jelas menunjukkan fokus Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekonomi komuniti, meningkatkan kemahiran generasi muda, dan menyemai semangat keusahawanan di peringkat akar umbi, sejajar dengan visi belanjawan yang membawa manfaat langsung kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








