BERITA SEMASAPMX

Kerajaan umum peruntukan RM1 juta untuk pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin

IPOH – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Tanah Hitam, Chemor dekat sini.

Pengumuman tersebut dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan ia adalah tambahan kepada dana yang dikumpul oleh penduduk kawasan itu bagi membangunkan pusat pengajian berkenaan.

Jelas Perdana Menteri, beliau memberikan perhatian khusus kepada pusat pengajian Islam tersebut kerana usaha dan inisiatif pengurusannya dalam membangun serta mengangkat institusi pengajian agama itu.

“Setinggi penghargaan kepada pihak pengurusan pusat pengajian, termasuk penduduk di sini yang telah mengambil ikhtiar sendiri, tanah wakaf, yang membangunkan adalah ikhtiar sendiri.

“Ini satu perkara yang sangat membanggakan kerana ilmu itu fadilat kepada seluruh Muslim dan Muslimat dan matlamat kita itu sebenarnya nak didik masyarakat, angkat martabatnya dan beri kefahaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Lawatan Mahabbah dan Kenduri Rakyat di pusat pengajian itu dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Penaung Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Sementara itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengubah tanggapan bahawa membangun dan memakmurkan institusi kerohanian seperti masjid adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ia tanggungjawab bersama.

Tegas beliau, martabat umat Islam dapat ditingkatkan apabila tanggungjawab terhadap pembangunan dan pemerkasaan institusi agama ini dipikul secara kolektif, termasuk melalui sumbangan kepada tabung masjid setiap kali solat Jumaat diadakan.

“Sesetengah orang dia salah faham dengan dia ingat semua ini dari peruntukan, namun mesti sumbang paling kurang seringgit (RM1) sebagai saham untuk membina masjid. Maknanya, mengimarahkan atau membangun masjid itu tanggungjawab semua.

“Jadi mesti ada saham RM1, atau RM10, atau RM100 mengikut kemampuan masing-masing. Untuk apa? Bukan untuk tempat porak-peranda, maki hamun, fitnah orang atas nama Melayu atau Islam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button