Bekas ketua, pegawai kanan Badan Gizi Nasional ditahan berhubung dakwaan rasuah
JAKARTA – Bekas Ketua Badan Gizi Nasional (BGN), Dadan Hindayana dan dua lagi bekas pegawai kanan agensi itu ditahan Pejabat Peguam Negara susulan siasatan berhubung dakwaan rasuah.
Laporan ABC.net.au berkata, dua lagi yang dtahan adalah Mejar Jeneral (Bersara), Lodewyk Pusung dan Brigedier Jeneral Polis, Sony Sonjaya, masing-masing timbalan ketua BGN yang turut dipecat bersama Dadan, semalam.
BGN merupakan agensi kerajaan yang bertanggung jawab menguruskan Program Makanan Berkhasiat Percuma, yang dikenali sebagai MBG, merupakan antara janji utama kempen pilihan raya Presiden, Prabowo Subianto yang membantu beliau meraih kemenangan besar dalam pilihan raya 2024.
Program itu, yang diperuntukkan belanjawan kira-kira 270 trilion rupiah Indonesia (AS$20 bilion) tahun ini, mencetuskan kontroversi apabila seorang pemantau pendidikan menganggarkan puluhan ribu kanak-kanak mengalami keracunan makanan selepas menyertai program berkenaan.
Ketiga-tiga lelaki itu telah dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah yang didakwa berlaku ketika mereka menjalankan tugas sebagai pemimpin tertinggi BGN.
Dalam satu sidang media, Pengarah Siasatan Jenayah Khas Pejabat Peguam Negara, Syarief Sulaiman berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa mereka memanipulasi proses perolehan dan menganugerahkan kontrak pengurusan dapur kepada yayasan yang tidak layak.
Beliau turut berkata, kebanyakan yayasan yang terlibat dimiliki oleh kakitangan agensi pemakanan itu sendiri, termasuk tiga bekas pemimpin kanan yang ditahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








