
Bawa gambar Agung ketika berkempen, 2 lelaki ditahan
KUALA KUBU BARU – Dua lelaki ditahan reman kerana membawa gambar Yang Dipertuan Agung (YDPA) di atas kenderaan ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki Cina warga tempatan yang hadir ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu bagi membuat laporan terhadap penghinaan gambar Agung.
“Laporan melibatkan sebuah kenderaan yang membawa sepanduk serta gambar YDPA dan bendera parti Pakatan Harapan.
“Setelah disiasat bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Langat telah berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan berumur lingkungan 60 tahun,” katanya dalam satu siaran media hari ini.
Ahmad Faizal berkata, susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 4(1) Akta hasutan 1948.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati salah seorang yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau Seksyen 225 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pendakwa raya dalam tempoh terdekat bagi mendapat arahan selanjutnya,” katanya lagi.
Ahmad Faizal turut menasihati parti-parti politik tidak memainkan isu sensitif dengan menyentuh isu 3R kerana ia akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidak tenteraman dalam masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








