POLITIKBERITA SEMASA

PRK DUN Mahkota: Undi Syed Hussien untuk kekalkan kestabilan politik, ekonomi

KLUANG – Dalam usaha mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi negara, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diharap memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, sokongan terhadap Syed Hussien penting demi kesinambungan kestabilan politik yang telah dicapai oleh Kerajaan Perpaduan.

“Saya harap pengundi tidak terkeliru. PRK Mahkota kali ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan BN bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Sheikh Umar menjelaskan bahawa kerjasama antara PH dan BN adalah untuk mewujudkan kestabilan politik yang diperlukan negara.

“Tanpa kestabilan, Malaysia akan terjejas dan banyak perancangan tidak dapat direalisasikan. Kestabilan politik itu penting untuk memacu ekonomi negara,” katanya lagi.

Beliau turut menyebut bahawa nilai ringgit semakin kukuh pada kadar RM4.20 berbanding USD, selain menyatakan bahawa pelaburan asing yang masuk ke Malaysia pada suku pertama 2024 mencecah RM84 bilion, berdasarkan laporan Bank Negara.

“Kita mesti terus menyokong Kerajaan Perpaduan. Di PRK Mahkota calon kita adalah Syed Hussien dari BN, dengan logo dacing di kertas undi.

“Sokongan kepada Syed Hussien adalah tanda sokongan kepada usaha Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dalam mengukuhkan Malaysia,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota dijangka menjadi medan penting untuk menilai sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang kini memimpin negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button