BERITA SEMASA

Bantuan SARA Bujang legakan beban, bantu urus perbelanjaan harian

KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Kategori Bujang melalui mekanisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula disalurkan kepada 3.1 juta penerima hari ini disambut baik golongan belia, khususnya pelajar dan pekerja berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.

Pelajar berusia 21 tahun dari Selangor, Muhammad Asyraf Mohd Paris menyifatkan bantuan bulanan itu banyak membantu dalam menampung keperluan asas terutama dari segi belanja pemakanan dan perbelanjaan harian.

SARA Asyraf
Muhammad Asyraf menyifatkan bantuan SARA Bulanan Bujang sangat membantu dalam perbelanjaan harian.

“Bagi saya bantuan STR ini membantu dari segi makanan dan perbelanjaan bulanan. Sebagai pelajar, jumlah ini memadai kerana diterima setiap bulan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran terutama menjelang hujung bulan apabila wang perbelanjaan mula berkurangan.

“Kami pelajar masih belum bekerja, jadi hujung bulan terpaksa cari duit sikit kalau tak cukup. Mungkin kerajaan boleh tambah sedikit lagi bantuan untuk golongan bujang bagi menampung kos sara bulanan,” katanya sambil menyifatkan inisiatif kerajaan sebagai idea yang baik dan sangat membantu.

Seorang lagi penerima, Nuralia Ahmad Shaifuddin berkata, bantuan SARA Bujang membantunya menampung perbelanjaan makanan, barangan asas serta kos pengangkutan.

SARA Nuralia
NURALIA berharap agar kerajaan mempertimbangkan penambahan bantuan kepada individu yang lebih memerlukan, khususnya bagi menampung komitmen seperti sewaan.

“Bagi saya bantuan ini masih mencukupi dan setakat ini tiada isu tidak cukup. Cabaran kewangan utama saya lebih kepada bayaran sewa rumah setiap bulan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penambahan bantuan kepada individu yang lebih memerlukan, khususnya bagi menampung komitmen besar seperti sewaan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dan membantu golongan bujang seperti kami,” katanya.

Bagi Muhammad Alawi Mohd Turmadzi, bantuan SARA Bujang sedikit sebanyak memberi kelegaan dalam membeli barangan keperluan asas walaupun jumlahnya tidak besar.

SARA Alawi
Muhammad Alawi menghargai usaha kerajaan membantu golongan bujang melalui inisiatif SARA.

“Bagi saya jumlah bantuan ini sangat baik tetapi masih belum mencukupi untuk golongan bujang yang tinggal di kawasan bandar dan berpendapatan rendah.

“Namun saya menghargai usaha kerajaan dan berharap kerajaan boleh menambah jumlah bantuan pada masa akan datang yang bersesuaian dengan kos sara hidup semasa,” katanya.

Pekerja penghantaran LalaMove, Harith Haikal Mohd Fauzie, 29, pula menyifatkan bantuan berkenaan sebagai satu rahmat terutama dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Alhamdulillah, bantuan SARA Bujang ini boleh digunakan untuk beli barang keperluan harian. Pendapatan sebagai rider p-hailing tidak menentu, jadi bantuan ini memang meringankan beban,” katanya.

Menurut Harith, adiknya juga turut menerima bantuan tersebut sekali gus membolehkan mereka membantu membeli barangan dapur untuk ibu yang tidak bekerja.

SARA Harith Haikal
Harith (kanan) dan adiknya, Habib turut menzahirkan kesyukuran menerima sumbangan SARA bulanan.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, seramai 3.1 juta penerima STR Kategori Bujang berusia 21 hingga 59 tahun yang layak mula menerima bantuan melalui mekanisme SARA bermula hari ini.

Ia berdasarkan dua kategori iaitu RM50 membabitkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah, manakala mereka dengan julat pendapatan sama yang juga tersenarai sebagai penerima eKasih bakal mendapat RM100 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad.

Bantuan SARA diluluskan kerajaan menerusi Belanjawan 2026.

Inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan membantu golongan belia yang terkesan dengan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, bantuan itu memberi manfaat kepada golongan B40, miskin dan miskin tegar serta belia bujang yang sedang membina kerjaya dan kehidupan.

“STR Kategori Bujang merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi meringankan beban kewangan rakyat serta memastikan golongan muda tidak tercicir daripada arus pembangunan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata KBS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button