BERITA SEMASA

Banjir: Seramai 8,457 mangsa masih berlindung di PPS

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan ketara namun seramai 8,457 mangsa daripada 2,648 keluarga masih berlindung di 136 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri, setakat pukul 7.30 pagi ini.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 3,458 mangsa daripada 1,004 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS, diikuti Perlis dengan 2,217 mangsa di 21 PPS dan Selangor yang merekodkan 1,839 mangsa di 27 PPS.

Beberapa negeri lain turut terjejas termasuk Terengganu yang mencatatkan 257 mangsa dengan 37 PPS diaktifkan, Kelantan dengan 233 mangsa di tiga PPS, Pahang (243 mangsa), Kedah (192), Sarawak (14) serta Kuala Lumpur (4 mangsa).

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, JKM memaklumkan bahawa 1,270 merupakan warga emas manakala 2,660 ialah kanak-kanak termasuk 220 bayi selain 274 orang kurang upaya (OKU).

Cuaca yang bertambah baik di kebanyakan negeri sejak semalam turut membantu situasi banjir untuk surut menyebabkan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS menurun ketara berbanding 14,040 orang pada pagi semalam.

Namun begitu, data Public Infobanjir menunjukkan beberapa sungai dan empangan masih berada pada paras membimbangkan setakat pukul 7 pagi ini.

Ia termasuklah Empangan Timah Tasoh di Perlis, Sungai Slim di Slim River dan Sungai Bidor di Changkat Jong, Perak, serta Pintu Air Ijok di Selangor yang direkodkan pada tahap bahaya.

Selain itu, beberapa lokasi turut mencatat paras amaran. Antaranya Rimba KDR (Selangor), Cheng U/S dan Sungai Siput di Kampung Sungai Siput (Perak), Sungai Kesang di Telok Rimba (Johor) serta Sungai Golok di Rantau Panjang (Kelantan).

Situasi itu menunjukkan walaupun keadaan cuaca pulih, risiko limpahan air di beberapa kawasan masih perlu diberi perhatian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button