Banjir Sabah: PM mohon penduduk patuhi arahan pihak berkuasa, arahkan agensi keselamatan tingkatkan usaha menyelamat
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan situasi banjir yang semakin memburuk di Sabah sehingga lebih daripada 400 mangsa di Penampang dan Beaufort terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Perdana Menteri turut mengarahkan pihak berkuasa dan agensi keselamatan meningkatkan usaha menyelamatkan semua mangsa.
“Saya mohon penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan kerana keselamatan nyawa keluarga adalah keutamaan.
“Pihak berkuasa dan agensi keselamatan harus terus dan tingkatkan usaha menyelamat, pastikan kebajikan serta keperluan asas mangsa dipenuhi dan berikan perlindungan terbaik sehingga keadaan kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Anwar turut mendoakan keselamatan semua mangsa banjir supaya dipermudahkan segala urusan.
Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di pantai barat Sabah dilanda banjir, sekali gus memaksa 412 penduduk dipindahkan ke PPS di Penampang dan Beaufort.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, di Penampang seramai 179 mangsa kini ditempatkan di empat PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (55 orang), SMK Datuk Peter Mojuntin (88), SK St Paul Kolopis (9) dan Dewan Huguan Siou, Tuavon (27).
Di Beaufort pula, seramai 233 mangsa daripada 69 keluarga dipindahkan selepas lapan kampung dinaiki air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








