Azeem kempunan pingat di pentas final Sukan Universiti Dunia
BOCHUM – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terpaksa akur kempunan pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat acara final 100 meter lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 yang berlangsung di Lohrheidestadion, awal pagi tadi.
Azeem mencatat masa 10.35 saat, iaitu catatan terbaik daripada keseluruhan tiga pusingan perlumbaan yang disertainya termasuk separuh akhir dan saringan awal, namun masih belum mampu mengatasi tiga pencabar utama.
Pingat emas menjadi milik pelari Afrika Selatan, Bayanda Walaza dengan masa 10.16s, manakala pelari Thailand, Puripol Boonson meraih perak (10.22s) dan atlet Jepun, Hiroki Yanagita memenangi gangsa (10.23s).
“Saya dah cuba beri yang terbaik, tapi mungkin belum rezeki. Tipulah kalau kata tak kecewa, sebab matlamat saya datang ke sini bukan sekadar ke final tetapi mahu naik podium.
“Hanya selangkah saja lagi, itu yang lebih menyakitkan… Tapi saya reda, mungkin Allah nak ajar saya jadi lebih kuat,” katanya memetik laporan BH online.
Terdahulu, Azeem, 22, yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat, layak ke final selepas menamatkan separuh akhir di tempat ketiga dengan catatan 10.43s, di belakang Walaza (10.31s) dan Dominik Illovszky dari Hungary (10.32s).
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu dijadual meneruskan cabaran dalam acara 200m malam ini (waktu Malaysia), sebelum beraksi bersama kuartet 4x100m negara pada Sabtu ini.
Sementara itu, pelari 400m negara, Umar Osman gagal mara ke final selepas menamatkan saringan separuh akhir di tempat keenam dengan masa 47.10s, yang juga catatan terburuknya musim ini.
“Catatan kali ini sangat mengecewakan. Banyak yang saya perlu perbaiki untuk kejohanan akan datang, termasuk Sukan SEA 2025,” katanya yang turut akan beraksi dalam acara 4x400m lelaki dan campuran selepas ini.
Dalam acara 800m wanita, Hizillawanty Jamain mencatat masa terbaik musim ini dengan 2:18.45s, meskipun menamatkan saingan di tempat terakhir saringan dua.
Pelari 400m lari berpagar wanita, Mandy Goh Li pula menduduki tempat kelima dalam saringan keempat dengan masa 1:03.12s, manakala wakil lompat tinggi lelaki, Farrell Glenn Felix Jurus terkandas di pusingan kelayakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







