BERITA SEMASA

Atlis Holidays nafi pernah lantik lelaki pukul remaja sebagai penasihat

KAJANG – Syarikat pelancongan, Atlis Holidays Sdn Bhd (Atlis Holidays) menafikan pernah melantik individu yang terbabit dengan kes pukul remaja berusia 17 tahun yang tular di Saujana Impian di sini sebagai penasihat syarikat itu.

Menurutnya dalam satu kenyataan, individu berkenaan hanya bertugas sebagai mutawif secara bebas dengan pihaknya.

Susulan itu katanya, tugasan lelaki berkenaan sebagai mutawif di syarikat itu juga dihentikan serta-merta.

“Pihak kami membuat laporan polis untuk melindungi perniagaan kami dan tindakan pelaku itu yang memuat naik butiran profil Facebook yang mengelirukan masyarakat umum.

“Pihak kami juga membuat hebahan ini secara rasmi untuk menjelaskan bahawa pihak syarikat tidak mempunyai sebarang kaitan, tanggungjawab atau liabiliti terhadap tindakan peribadi pelaku itu.

“Akhlak pelaku tidak mewakili keseluruhan syarikat,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Atlis Holidays memaklumkan pihak syarikat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap komen atau hantaran berbaur ancaman, ugutan atau fitnah yang dilemparkan ke atas syarikat berikutan tindakan peribadi individu terbabit.

Media pada 14 Mac lalu melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul seorang lelaki tidak dikenali akibat perselisihan faham ketika kedua-dua mereka sedang memandu di kawasan Saujana Impian.

Akibat kejadian itu, remaja lelaki berkenaan retak tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan tindakan saman trafik, manakala lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Kajang jam 9.50 malam hari sama dan direman sehari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button