JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu e-hailing cedera dipukul dengan alat pengunci stereng

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing cedera di muka akibat dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam satu kejadian di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran simpang keluar sebuah stesen minyak, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden yang turut menjadi tular di media sosial itu dipercayai berpunca akibat salah faham ketika memandu .

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek tidak berpuas hati terhadap tindakan mangsa, warga tempatan berusia 38 tahun yang memandu keluar dari stesen minyak secara melulu sehingga menyebabkan suspek terpaksa membrek secara mengejut.

“Suspek kemudiannya keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menambah, akibat kejadian, pengadu mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Polis turut merampas sebuah alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati keputusan negatif dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Permohonan reman ke atas suspek dijangka dilakukan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari Ahad (hari ini),” katanya.

Sebelum itu, tular video berdurasi tujuh saat memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta dari bonet dan memukul kereta dipercayai milik mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button