Atlet hamil dibenar sertai kejohanan jika disahkan cergas – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Atlet wanita negara yang hamil kini dibenarkan untuk terus menjalani latihan dan menyertai kejohanan sekiranya disahkan cergas oleh doktor.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeohm berkata, dasar baharu itu dibuat selepas kerajaan meneliti semula amalan lama yang dianggap tidak adil, apabila atlet hamil secara automatik digugurkan daripada program latihan dan ada yang ditamatkan perkhidmatan.
“Kita tidak boleh samakan semua jenis sukan. Contohnya, sukan 100 meter dengan memanah tidak sama. Jika anda hamil lapan bulan, anda masih boleh berlatih dan menyertai pertandingan memanah.
“Justeru, kita hanya mewajibkan pemeriksaan kesihatan. Selagi doktor mengesahkan atlet cergas, mereka boleh meneruskan latihan,” katanya ketika berucap pada sesi pleno khas Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di sini, semalam.
Hannah berkata, arena sukan negara kini semakin mesra wanita apabila cuti bersalin untuk atlet turut diperkenalkan, sesuatu yang tidak pernah diwujudkan sebelum ini.
Beliau turut menekankan keperluan kemudahan penjagaan anak yang fleksibel untuk atlet dan jurulatih kerana waktu operasi pusat jagaan kanak-kanak kebiasaannya tidak sesuai dengan jadual latihan yang bermula seawal pagi.
“Apabila ada kemudahan khusus yang memenuhi keperluan mereka, lebih ramai wanita akan kekal dalam bidang kerjaya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hannah turut mengumumkan kerjasama baharu antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengenal pasti bakat atlet para.
“Program pemulihan Perkeso kini turut memberi peluang kepada individu yang pulih daripada kecederaan untuk mencuba pelbagai sukan para, sekali gus mampu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















