Dalam Islam tiada konsep kelahiran semula, Asma’ Harun nasihat pengikut ajaran menyeleweng bertaubat
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Asma’ Harun menzahirkan kebimbangan terhadap satu program yang didakwa mencemari nilai akidah Islam yang memberi kesan buruk khususnya dalam kalangan anak muda.
Beliau menyifatkan ia sebagai perkara membimbangkan, apabila ia melibatkan individu yang telah lama terjerumus dalam kegiatan kumpulan berkenaan.
“Memualkan. Saya sendiri tidak sanggup menonton atau membaca pendedahan tersebut sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Asma’ menyeru mereka yang terlibat agar segera melakukan Taubat Nasuha, taubat dengan penyesalan sebenar, meninggalkan perbuatan salah itu serta bertekad untuk tidak mengulanginya.
“Selepas bertaubat, semua laluan komunikasi dan hubungan dengan kumpulan ini perlu ditamatkan.
“Tarikan untuk kembali semula sangat kuat apabila hati sudah lama hanyut. Tapi yakinlah, dengan pertolongan Allah, kita boleh berubah,” jelasnya.
Menurut beliau, pengalaman pahit itu perlu dijadikan pengajaran yang mendalam untuk kembali kepada kehidupan yang lebih lurus dan diredai.
Sehubungan itu, Asma’ menyeru pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Kontroversi berkaitan program tersebut pernah tercetus sebelum ini.
“Saya sangka mereka telah berubah, tapi ternyata semakin jauh menyimpang daripada landasan syarak,” ujarnya.
Beliau menyifatkan tindakan segelintir individu memilih jalan yang mencurigakan demi kebahagiaan sebagai satu kesilapan yang membuktikan lemahnya pegangan terhadap ajaran Islam.
Asma’ menekankan Islam telah menyediakan jalan keluar yang jelas dan selamat untuk setiap permasalahan hidup melalui al-Quran, hadis dan sunnah Rasulullah SAW.
“Kenapa masih mencari jalan yang tersembunyi dan samar, sedangkan laluan terang dan sahih sudah terbuka luas?” tegasnya.
Beliau mengajak umat Islam untuk kembali kepada asas agama dengan memperbanyakkan solat, membaca al-Quran dan menghadiri majlis ilmu.
“Dalam Islam, tiada konsep kelahiran semula untuk menyucikan jiwa. Yang ada ialah taubat sebenar hingga seseorang kembali bersih seperti bayi yang baru dilahirkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



