Ucap ‘Gong Xi Fa Cai’, makan Yee Sang dibolehkan jika patuh syariat – Ustazah Asma’ Harun
KUALA LUMPUR – Ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ serta penyertaan dalam sambutan Tahun Baharu Cina adalah dibolehkan bagi umat Islam sekiranya memenuhi garis panduan syarak dan tidak melibatkan unsur akidah.
Demikian penjelasan pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun susulan persoalan masyarakat termasuk mualaf yang ingin menyambut perayaan itu bersama keluarga serta jiran berbangsa Cina.

Menurut beliau, sambutan Tahun Baharu Cina pada masa kini merupakan perayaan budaya berasaskan kalendar lunar Cina yang diraikan selama 15 hari dan tidak mempunyai kaitan dengan akidah Islam.
“Hukumnya dibolehkan jika ada keperluan, atas dasar kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan, dengan syarat tidak reda terhadap pegangan agama lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menjelaskan, menjamah hidangan seperti Yee Sang juga dibolehkan selagi tidak mengandungi bahan haram seperti arak dan babi serta tidak berlaku pencemaran peralatan memasak.
Mengulas ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ yang bermaksud tahniah dan semoga mendapat rezeki, beliau berkata ia tidak bercanggah dengan akidah dan dibenarkan sebagai tanda persahabatan.
“Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan bahawa ucapan tahniah dan kehadiran ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak melibatkan pengiktirafan akidah atau amalan yang bercanggah dengan Islam,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam agar mematuhi garis panduan pihak berkuasa agama serta menjaga sensitiviti dan batas syariat ketika menghadiri sebarang sambutan perayaan kaum lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

