Aset, peralatan MALBATT di Lubnan dijangka mula dibawa pulang tahun depan
SUBANG – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memulakan proses membawa pulang aset dan peralatan yang terlibat dengan penugasan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada pertengahan tahun depan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar bagaimanapun berkata jumlah peralatan yang akan dibawa pulang atau ditinggalkan di Lubnan masih belum dimuktamadkan, kerana perkara itu perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum keputusan rasmi diumumkan.
“Sebahagian peralatan kita akan ditinggalkan untuk kegunaan mereka, manakala selebihnya akan dibawa pulang secara berperingkat bermula pertengahan tahun.
“Insya Allah, semuanya akan berjalan lancar dan Malbatt 850-13 akan menjadi penutup penyertaan Malaysia dalam misi UNIFIL di Lubnan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelepasan kumpulan pertama Malbatt 850-13 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Tambahnya, walaupun misi itu menandakan tamatnya penugasan pengaman Malaysia di Lubnan, komitmen negara terhadap usaha pengaman global kekal teguh melalui Pusat Pengaman Malaysia (MPC).
“Walaupun ini misi terakhir kita di Lubnan, MPC akan terus beroperasi. Ia bukan sahaja menyediakan latihan pra-penugasan, malah melaksanakan pelbagai kursus berkaitan operasi pengaman.
“Selepas beberapa tahun, kita akhirnya menerima pengiktirafan rasmi daripada PBB untuk pusat tersebut,” katanya lagi.
Mengulas mengenai situasi di Lubnan, Nizam berkata, ATM kekal berharap keamanan dan kestabilan akan terus terpelihara.
“Insya Allah, kita mesti kekal positif dan optimis. Kita berharap proses perdamaian akan berjaya dan segala pertelingkahan dapat dihentikan.
“Walaupun ada yang ragu-ragu, kita tunggu dan lihat. Saya percaya tiba masanya, selepas penggiliran ke-13 Malbatt, untuk Lubnan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pertahanan negara mereka sendiri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








