Kenderaan MALBATT diserang: Bendera Malaysia akan dipasang elak kejadian berulang
KLUANG – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bendera Malaysia akan diletakkan pada kenderaan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) bagi mengelakkan insiden yang berlaku di Lubnan kelmarin berulang.
Beliau berkata, ketika kejadian pasukan pengaman itu melalui kawasan tersebut bagi menghadiri satu mesyuarat.
“Memang ada insiden di mana kereta peronda MALBATT telah dibaling dan dilakukan tindakan yang menyebabkan beberapa kerosakan. Kawasan yang dilalui itu bukan kawasan ditugaskan tapi kerana ada mesyuarat dalam kawasan itu.
“Kawasan itu dipertanggungjawabkan kepada Itali dan memang kawasan itu penduduknya sangat hostile dengan United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) yang dikelolakan oleh Itali, jadi apabila diberitahu kita datang dari Malaysia tindakan itu dihentikan dan semua anggota kita selamat.
“Kita memang kadang-kadang diminta hadir dalam kawasan lain, kita kena hati-hati dan letak bendera Malaysia apabila keluar,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Mini Karnival Tentera Darat 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu ditanya sama ada akan diadakan siasatan rasmi berhubung insiden itu, katanya, pihaknya akan menunggu terlebih dahulu laporan rasmi daripada pasukan pengaman negara di sana.
Dalam insiden yang berlaku Rabu lalu, semua anggota trup MALLBATT 850-11 selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas dua buah kenderaan yang dinaiki oleh tiga orang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL diserang orang awam.

Bagaimanapun, Lebanon Armed Forces (LAF) yang telah tiba dilokasi itu berjaya mengawal keadaan dan membantu mengkoordinasikan bagi membawa balik kenderaan serta anggota MALBATT ke Kem Marakah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








