BERITA SEMASA

ASEAN Art Festival 2025 tonjolkan Malaysia sebagai pusat diplomasi seni serantau

BANGI – Warna, irama dan budaya dari seluruh rantau Asia Tenggara kini berpadu di bawah satu bumbung dengan berlangsungnya acara ASEAN Art Festival 2025 atau 8th UKM ARTSEAN.

Diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), program tersebut bermula kelmarin hingga 3 November ini.

Program anjuran Againstar House Sdn. Bhd. dengan kerjasama UKM, Pusat Kebudayaan UKM dan Persatuan Artisukma itu sempena Kepengerusian Malaysia terhadap ASEAN 2025.

Asean Art Festival
Sebahagian delegasi luar negara yang menyertai ASEAN Art Festival 2025.

Seramai 142 peserta dari 25 institusi pengajian tinggi mewakili 14 negara menyertai festival kali ini dengan tujuh negara ASEAN menjadi peserta utama iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja, Thailand dan Brunei.

Selain itu, tujuh lagi ialah negara jemputan khas termasuk Jepun, China, Korea Selatan, Kazakhstan, Kanada, India dan Perancis.

Ketua Operasi Eksekutif Againstar Sdn. Bhd., Muhammad Aiman Ainol Amriz berkata, festival itu menjadi wadah untuk pelajar universiti dan penggiat seni serantau berkongsi idea, menjalin kerjasama budaya serta mempersembahkan keunikan seni masing-masing.

Aiman Ainol
Aiman menegaskan festival itu merupakan wadah untuk pelajar universiti dan penggiat seni serantau menjalin kerjasama budaya.

“Seni ialah bahasa universal yang menyatukan bangsa tanpa sempadan. Melalui festival ini, kita ingin memperkukuh jati diri ASEAN dan memartabatkan Malaysia sebagai hab seni dan diplomasi budaya serantau,” katanya.

Sementara itu. Pengarah Program ASEAN Art Festival 2025, Ahmad Arfy Ahnaf Johar berkongsi, festival yang mula diperkenalkan pada tahun 1994 itu merupakan kesinambungan siri ARTSEAN terdahulu dan terus menjadi platform utama kesenian universiti ASEAN.

Asean Art Festival
Salah satu acara kesenian yang diadakan sempena penganjuran festival tersebut.

“Penganjuran tahun ini menumpukan empat objektif utama iaitu memajukan industri pelancongan negara, mengukuhkan hubungan diplomatik melalui seni, memperkenalkan seni tempatan sebagai produk eksport serta menjadikan Malaysia pusat seni serantau,” katanya.

Sepanjang enam hari penganjuran, pelbagai acara menarik disusun termasuk Welcoming Dinner & Sesi Suai Kenal di Panggung Seni UKM, Lawatan Kebudayaan ke Mah Meri Cultural Village yang diiktiraf UNESCO, Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu ASEAN bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta ARTSEAN Pocket Show di Muzium Negara.

Arfy Ahnaf
Arfy memberitahu kemuncak acara ialah Malam Gala ASEAN Art Festival di Dectar UKM esok. 

Tambah Ahmad Arfy Ahnaf, kemuncak acara ialah Malam Gala ASEAN Art Festival 2025 pada 1 November di DECTAR UKM yang bakal menampilkan persembahan eksklusif daripada semua delegasi di bawah tema “Kita Serumpun, Seni Menyatukan Kita.”

Penganjur menjangkakan festival itu bukan sahaja mengangkat seni sebagai jambatan diplomasi, malah memperkukuh sektor pendidikan dan pelancongan budaya, sekali gus memperteguh kedudukan Malaysia sebagai pusat kreativiti dan seni serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button