BERITA SEMASAPMX

Anwar zahir ucapan, titip doa buat Dr Mahathir sempena ulang tahun ke-101

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-101 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ucapan yang dimuat naik dalam satu hantaran di Facebook, sebentar tadi itu turut mendoakan supaya Dr Mahathir terus dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang diberkati serta rahmat daripada Allah SWT.

“Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-101 buat Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatanNya, Insya Allah,” kata Anwar dalam hantaran tersebut.

Dalam hantaran sama, Anwar turut berkongsi dua gambar dengan salah satu daripadanya memaparkan mereka berdua dalam satu majlis.

Sepanjang lebih empat dekad dalam arena politik, Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negara menerusi pelbagai dasar termasuk Wawasan 2020, selain menyelia pelaksanaan projek-projek mega yang menjadi mercu tanda pembangunan Malaysia.

Walaupun telah melepasi usia satu abad, beliau masih aktif menghadiri program awam, menyampaikan pandangan mengenai isu semasa serta berkongsi pandangan melalui penulisan dan media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button