BERITA SEMASA

Anwar seru PBT laksana inisiatif kurangkan kadar sewa premis

Bantu ringankan beban penjaja, peniaga kecil

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melaksanakan inisiatif pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaannya bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.

“MTEN hari ini turut meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara sepanjang krisis bekalan global.

“Antara yang dibincangkan adalah cadangan pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya tegaskan bahawa lebih banyak PBT di seluruh negara perlu melaksanakan inisiatif ini bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook, sebentar tadi.

Beliau menambah, kerajaan telah pun memulakan usaha pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut menambah, mesyuarat hari ini turut meneliti pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup, termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.

“Mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, saya telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan.

“MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil supaya mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global,” kata Anwar lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button